COVENTRY (England): Coventry City nampaknya sudah menemui rentak mereka dalam Liga Perdana England (EPL) selepas meraih kemenangan pertama musim ini di padang sendiri dengan menewaskan Newcastle United 4-1 secara meyakinkan pada 12 Oktober.

Pasukan tetamu pula terpaksa bermuhasabah lagi.

Penalti awal Jack Rudoni disusuli gol Sidiki Cherif, Ellis Simms dan Stephen Mfuni ketika Coventry meraih dua kemenangan berturut-turut selepas permulaan musim yang sukar. Ini juga kemenangan pertama di padang sendiri dalam divisyen teratas selepas 25 tahun.

“Sangat memuaskan. Memang sukar untuk menang,” kata pengurus Coventry, Frank Lampard.

“Kami bermain seperti pasukan yang kami ingin jadi. Kumpulan ini penuh semangat dan tenaga, dan kami tahu kami akan banyak melalui kesusahan musim ini.

“Kesungguhan dan keyakinan pemain, anda mendapat apa yang anda usahakan, iaitu jaringan yang hebat. Musim ini kami belum benar-benar bernasib baik untuk mencuri lebih banyak mata.

“Ia persembahan yang menyeluruh. Kami mesti terus berpijak di bumi nyata. Ia perasaan yang hebat untuk para pemain,” tambahnya.

Mungkin ada kegembiraan di Coventry, namun bagi Newcastle, ia persembahan yang lemah.

Mereka terlepas peluang dan kelihatan rapuh di bahagian pertahanan.

“Itu sukar. Itulah hukuman dalam liga ini. Kami menguasai banyak fasa permainan, tetapi itu tidak cukup,” kata pengurus Newcastle, Matthias Jaissle, kepada BBC Sport. 

“Perlawanan ditentukan di kotak penalti. Di kedua-dua kotak penalti, kami tidak kemas. Ini sesuatu yang perlu kami pelajari dengan cepat.

“Momentum ada pada kami. Kami mempunyai skuad muda, namun itu tidak sepatutnya dijadikan alasan. Ia perlawanan yang sukar secara keseluruhan.

“Hari ini kalau dilihat gambaran keseluruhan, ia bukan perlawanan yang paling teruk. Tetapi saya memohon maaf kepada peminat kerana mereka layak mendapat keputusan yang berbeza.” - Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti