Topik diikuti
Pergi ke BHkuCoventry tamatkan kemarau di padang sendiri selepas 25 tahun
Kembali temui rentak selepas harungi permulaan musim sukar, menang 4-1 ke atas Newcastle
Coventry tamatkan kemarau di padang sendiri selepas 25 tahun
COVENTRY (Britain): Coventry City nampaknya sudah menemui rentak mereka dalam Liga Perdana England (EPL) selepas meraih kemenangan pertama musim ini di padang sendiri, dengan menewaskan Newcastle United 4-1 pada 12 Oktober.
Gol pembukaan Jack Rudoni menerusi sepakan penalti awal disusuli jaringan Sidiki Cherif, Ellis Simms dan Stephen Mfuni, sekali gus membantu Coventry meraih kemenangan berturut-turut selepas mengharungi permulaan musim yang sukar.
Ini juga kemenangan pertama di padang sendiri dalam divisyen teratas selepas 25 tahun.
“Sangat memuaskan. Memang sukar untuk menang,” kata pengurus Coventry, Frank Lampard.
“Kami bermain seperti pasukan yang kami inginkan.
“Kumpulan ini penuh semangat dan tenaga, dan kami tahu kami akan melalui banyak kesusahan musim ini.
“Berkat kesungguhan dan keyakinan para pemain, mereka akhirnya memperoleh hasil yang setimpal dengan usaha mereka, iaitu jaringan yang hebat.
“Namun, musim ini kami belum benar-benar bernasib baik untuk mencuri lebih banyak mata.
“Kami mesti terus berpijak di bumi nyata,” tambahnya.
Sementara itu, bagi Newcastle pula, perlawanan itu menyaksikan mereka mempamerkan prestasi yang mengecewakan.
Mereka terlepas peluang dan kelihatan rapuh di bahagian pertahanan.
“Memang sukar menerima keputusan ini.
“Namun, begitulah hakikat persaingan dalam liga ini.
“Kami menguasai sebahagian besar permainan, tetapi penguasaan itu sahaja tidak mencukupi.” kata pengurus Newcastle, Matthias Jaissle, kepada BBC Sport.
“Perlawanan ditentukan oleh keberkesanan permainan di kawasan kotak penalti.
“Permainan di kedua-dua kotak penalti, kami tidak kemas. Ini sesuatu yang perlu kami pelajari dengan cepat.
“Momentum ada pada kami. Kami mempunyai skuad muda, namun itu tidak sepatutnya dijadikan alasan.
“Ia perlawanan yang sukar secara keseluruhan,” tambah Jaissle. – Reuters.