DOHA: Croatia menyingkirkan Brazil daripada Piala Dunia selepas menewaskan juara lima kali itu 4-2 menerusi tendangan penalti setelah kededua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan dalam perlawanan suku akhir, awal pagi Sabtu (10 Disember).

Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic menyelamatkan sepakan Rodrygo sebelum sepakan percubaan Marquinhos sekadar menggegar tiang gol bagi membolehkan Croatia melangkah ke separuh akhir.

Terdahulu, Neymar telah memecahkan kebuntuan pada lewat separuh masa pertama masa tambahan, tetapi Croatia menyamakan kedudukan menerusi jaringan Bruno Petkovic pada minit ke-117.

Jaringan Neymar dalam perlawanan itu bermakna beliau telah menyamai rekod Pele sebagai penjaring terbanyak Brazil dengan 77 gol.

Dalam pada itu, Croatia akan bertemu Argentina di separuh akhir selepas negara Amerika Selatan itu menewaskan Belanda menerusi tendangan penalti awal pagi tadi (waktu Singapura).

Dalam perlawanan penuh drama di Stadium Lusail itu, permainan terpaksa ditentukan menerusi penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan.

Pemain gantian Belanda, Wout Weghorst beraksi cemerlang dengan menjaringkan dua gol pada lewat permainan, termasuk gol pada masa kecederaan selepas Argentina mendahului 2-0 menerusi jaringan Nahuel Molina dan sepakan penalti Lionel Messi.

Penjaga gol, Emiliano Martinez muncul wira Argentina pada penentuan penalti selepas berjaya menyelamatkan dua sepakan lawan untuk pasukan itu melakar kemenangan 4-3. - AFP