SIRI PERLUMBAAN F4 CHINA

Daim juarai siri kedua di Litar Zhuhai

Jaguh muda menang ketiga-tiga perlumbaan, kini lompat ke tangga teratas senarai pemandu

BERLUMBA dalam musim sulung Formula 4 (F4) China tahun ini, pemandu muda sukan motor sports dari Singapura, Daim Hishammudin, menguasai siri kedua perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai pada hujung minggu lalu.

Daim, yang menyambut hari lahirnya yang ke-20 tahun pada 31 Mei lalu, memenangi ketiga-tiga perlumbaan yang diadakan, sekali gus membolehkannya melompat ke tangga teratas senarai kedudukan pemandu.

Kesemuanya kalendar F4 China menampilkan enam siri perlumbaan dengan pusingan ketiga pula akan diadakan di Litar Antarabangsa Chengdu pada hujung minggu 21-22 Julai.

"Tentu sekali ini adalah hadiah hari jadi terbesar saya sejauh ini," ujar Daim yang mewakili pasukan BlackArt Racing bagi siri F4 China ini.

"Perasaan ketika memenangi perlumbaan begitu hebat sekali terutama dalam perlumbaan ketiga yang diadakan secara 'reverse grid'... ini bermakna pemenang perlumbaan sebelumnya memulakan perlumbaan terakhir (ketiga) itu pada petak ke-10.

"Sebenar tiada strategi khusus di atas kejayaan ini. Kami sedar bahawa kami mempunyai kereta yang pantas, jadi kami berusaha mengekalkan kelebihan itu sejak awal lagi.

"Pasukan saya turut berkongsi gembira... kemenangan ini membuktikan bahawa kami mempunyai potensi untuk mencatatkan keputusan yang baik tahun ini," tambah Daim yang turut mendapat tajaan Monster Energy - syarikat minuman bertenaga gergasi dari Amerika Syarikat - yang menyokong penyertaannya dalam F4 China ini.

Di pusingan pembukaan siri ini yang didakan di Litar Antarabangsa Ningbo pada bulan lalu, Daim, yang masih perlu mengimbangi masanya antara sukan yang diminatinya itu dengan tanggungjawab menjalani Perkhidmatan Negara (NS) yang hanya akan berakhir pada Oktober ini, menduduki tempat kedua dan ketiga dalam dua daripada tiga perlumbaannya.

Ia pencapaian yang memberangsangkan memandangkan anak muda ini - yang menjuarai siri Motorsport Caterham Prince Lubricants tahun lalu - hanya berpeluang memandu kereta sebenar F4 beberapa hari sebelum perlumbaan.

Daim memperbaiki pencapaian itu dengan memenangi kesemua tiga perlumbaan yang disertai hujung minggu lalu, meletakkannya di tangga teratas senarai kedudukan pemandu dengan 118 mata - 13 mata melebihi pemandu di tempat kedua yang juga dari pasukan BlackArt Racing, Daniel Cao.

Pencapaian cemerlang Daim itu bagaimanapun bukanlah sesuatu yang mengejutkan jurulatih-pemandu yang membimbingnya, Dan Wells.

"Saya tidak terkejut dengan kejayaan Daim memenangi tiga perlumbaan ini. Malah, sejak siri pertama di Ningbo, beliau telah menunjukkan keupayaan memandu serta kepantasan yang hebat sekali," ujar Wells.

"Kelebihan Daim ialah beliau tekun mendengar dan mempelajari segalanya yang disampaikannya... contohnya saya ada memberikan beliau 'tugasan' tertentu yang fokus pada sesuatu teknik seperti strategi menangani selekoh... sesuatu yang beliau dapat segera menguasai untuk memenangi perlumbaan-perlumbaannya.

"Beliau menunjukkan potensi besar dalam sukan ini dan jika beliau terus bekerja keras dan mendapatkan sokongan penaja, saya yakin Daim boleh mengorak langkah besar dalam sukan ini," tambah warga Britain berusia 27 tahun itu lagi yang pernah menjuarai perlumbaan Asia Formula Renault pada 2015.


"Saya tidak terkejut dengan kejayaan Daim memenangi tiga perlumbaan ini. Malah, sejak siri pertama di Ningbo, beliau telah menunjukkan keupayaan memandu serta kepantasan yang hebat sekali... Beliau menunjukkan potensi besar dalam sukan ini dan jika beliau terus bekerja keras dan mendapatkan sokongan penaja, saya yakin Daim boleh mengorak langkah besar dalam sukan ini."
- Dan Wells, jurulatih-pemandu bersama pasukan BlackArt Racing yang membimbing Daim.