Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

CARI REZEKI DI LUAR PADANG

Dalam sebulan Madhu hasilkan cermin mata hitam mesra alam

Feb 28, 2022 | 05:30 AM



Siapa kata pemain bola sepak hanya mahir menyepak, menggelecek dan menanduk bola? Daripada memilik gerai makan kepada menjadi usahawan menjual cermin mata hitam jenama sendiri dan ejen hartanah, ramai dalam kalangan pemain bola sepak profesional Singapura semakin giat menceburi bidang di luar sukan itu. BERITA HARIAN mewawancara dua pemain tempatan yang membuka perniagaan sendiri sebagai sebahagian daripada perancangan mereka bagi kehidupan selepas bersara daripada bola sepak nanti.




DI padang, beliau dikenali sebagai pemain pertahanan yang sentiasa cool - tenang dan teguh mengawal benteng pasukan.



Di luar padang, beliau kini melakar misi "menyejukkan" mata orang ramai dan alam semula jadi.



Sejak bulan lalu, pemain bek tengah Singapura Madhu Mohana meletak kasut butnya di tepi seketika untuk beliau berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.



Beliau mengeluarkan cermin mata hitam mesra alam jenama sendiri yang dipanggil Madshades awal bulan ini.



Bingkai cermin mata bagi penggunaan harian itu diperbuat daripada buluh 100 peratus.



Madhu, 31 tahun, berkongsi bersama Berita Harian bahawa beliau terdorong menjual cermin mata hitam mesra alam selepas mendapati tiada jenama di Singapura menjual produk sebegitu.



"Jadi, saya fikir mengapa tidak saya lakukan sesuatu? Saya rasa ia produk unik sebab ia mesra alam," katanya.



"Saya pun fikir mengapa tidak saya menjenamakan cermin mata hitam itu sempena nama saya sendiri dan dan menjualnya. Ia bukan mengenai bisnes sahaja, tapi untuk membantu memulihara Bumi juga."



Lebih mengagumkan ialah Madhu menjadikan ideanya satu kenyataan dalam tempoh sesingkat sebulan walaupun belau tiada pengetahuan dan pengalaman perniagaan.



Bahkan beliau sendiri menguruskan setiap aspek perniagaan Madshades. Ini termasuk mencari pembekal bagi menghasilkan cermin mata hitam mesra alam, menghasilkan sebuah laman web dan membawa produknya untuk dijual di platform e-dagang Lazada.



"Membuat laman web adalah yang paling susah sebab saya langsung tidak tahu cara melakukannya.



"Saya ada minta tolong kawan-kawan mengajar saya sedikit, tapi sebahagian besarnya saya belajar sendiri daripada YouTube," jelas Madhu, yang menyarung jersi pasukan nasional Singapura sebanyak 33 kali.



Madhu tidak terikat pada mana-mana kelab tempatan untuk musim baru Liga Perdana Singapura (SPL), yang bermula hujung minggu lalu, setelah dilepaskan oleh Tampines Rovers musim lalu.



Ditanya mengenai kemungkinan beliau bersara daripada bola sepak dalam masa terdekat ini, Madhu berkata: "Pintu saya belum lagi tertutup untuk bola sepak.



"Saya telah bermain bola sepak secara profesional selama 12 tahun. Mungkin baik untuk saya berehat seketika. Saya masih memastikan diri saya cergas. Saya masih melakukan senaman saya sendiri.



"Jadi, saya hanya mahu merehatkan minda saya daripada bola sepak buat sementara waktu."



Fokus beliau kini tertumpu pada menjayakan Madshades.



Sejak pelancarannya awal bulan ini, Madhu berkata produk itu mendapat sambutan baik, terutama daripada ahli keluarga serta teman-teman di padang dan luar padang.



"Ini adalah sesuatu yang saya ingin lakukan. Saya mahu ada perniagaan saya sendiri. Saya mahu ada jenama sendiri.



"Saya kini mempunyai rancangan membawa masuk lebih banyak produk mesra alam di bawah jenama ini," tambah Madhu, yang pernah beraksi bagi kelab Malaysia Negeri Sembilan dan LionsXII, yang dianggotai kebanyakan pemain nasional yang beraksi dalam Liga Super Malaysia dari 2012 hingga 2015.




"Ini adalah sesuatu yang saya ingin lakukan. Saya mahu ada perniagaan saya sendiri. Saya mahu ada jenama sendiri. Saya kini mempunyai rancangan membawa masuk lebih banyak produk mesra alam di bawah jenama ini."
- Madhu Mohana, yang mengeluarkan cermin mata hitam mesra alam jenama sendiri Madshades.




Pemain lain yang masuk 'padang' baru



GABRIEL QUAK,

Lion city Sailors



Berusia 31 tahun, Quak dikenali sebagai pemain sayap Singapura yang lincah dan hebat menggelecek bola melepasi lawan.



Awal bulan lalu, Quak mengumumkan di media sosial bahawa beliau kini juga seorang ejen hartanah.



Kapsyen dalam posnya di Instagram pada 13 Januari berbunyi:



"Hanya satu panggilan sahaja untuk perkara berhubung perumahan dan hartanah anda, tidak sabar untuk berkhidmat kepada anda semua."



Quak, yang Disember lalu menjalani pembedahan bahu selepas cedera semasa satu perlawanan Singapura dalam Piala Suzuki AFF 2020, menyertai bidang hartanah bersama ERA Real Estate.



HASSAN SUNNY,

Lion City Sailors



Tangannya bukan cekap dan tangkas menahan bola di pintu gawang saja, malah di dalam dapur.



Penjaga gol Singapura dan Lion City Sailors Hassan Sunny mula berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan menjual nasi padang sejak sekitar dua tahun lalu.



Gerainya - Dapur Hassan - terletak di Blok 872C Tampines Street 86. Ia dikendalikan oleh Hassan dan keluarganya serta pembantu dapur.



Hassan, 37 tahun, dalam satu wawancara bersama akhbar ini pada Oktober 2020 berkongsi bahawa pembukaan Dapur Hassan didorong pengalaman beliau membantu pak ciknya di gerai milik keluarga sewaktu kecil.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >