Menjelang Kejohanan Catur Dunia Persekutuan Catur Antarabangsa (Fide) yang dihos Singapura di Resorts World Sentosa dari 23 November hingga 15 Disember, dua bintang terbesar sukan Singapura bertukar bidang masing-masing untuk bersaing dalam perlawanan catur blitz yang mengujakan di papan catur gergasi.
Pemain bola sepak wanita Singapura, Danelle Tan dan pemenang pingat gangsa luncur lelayang di Sukan Olimpik, Maximilian Maeder, berentap dalam permainan persahabatan dua pusingan.
Tan, yang baru menandatangani kontrak bersama kelab bola sepak Australia, Brisbane Roar, muncul sebagai pemenang dan mendermakan $1,000 kepada Akademi dan Perkhidmatan Sosial Tasek, hasil sumbangan Persekutuan Catur Singapura.
Pada Julai, Singapura diumumkan sebagai tuan rumah kejohanan dunia itu oleh Fide setelah mengatasi bandar India, New Delhi dan Chennai.
Ini akan menjadi hanya kali kedua dalam sejarah 138 tahun kejohanan itu bahawa pertandingan tersebut diadakan di Asia Tenggara, selepas bandar Filipina, Baguio, pada 1978.
Kejohanan itu akan dianjurkan bersama pelbagai kegiatan sampingan, termasuk kejohanan dan permainan pameran lain.
Juara dunia dari China, Ding Liren, dan pesaingnya dari India, Gukesh Dommaraju, akan menyertai acara bernilai AS$8.5 juta ($11.5 juta) itu.
Kedua-dua pemain akan bersaing dalam format ‘best of 14’ atau pemain perlu meraih 7.5 mata atau lebih untuk menang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg