Daripada mengawal bola di tengah padang hingga menandatangani perjanjian jual beli rumah, dua bekas pemain bola sepak negara - Shahdan Sulaiman dan Amy Recha - kini menempa laluan baru dalam dunia hartanah.
Kedua-dua pemain masih aktif beraksi dalam Liga Perdana Singapura (SPL), namun dalam masa yang sama mereka juga membina kerjaya sebagai ejen hartanah - satu langkah strategik untuk menyiapkan diri menghadapi kehidupan selepas bersara daripada arena bola sepak, menurut dua pemain itu dalam podcast Kaki Bola, terbitan akhbar ini.
“Saya tak pernah rancang untuk jadi ejen hartanah. Tapi lama-lama, saya nak tahu lebih mendalam dalam bidang ini. Jadi saya fikir, cara terbaik ialah dengan menyertai industri itu sendiri,” kata Shahdan, 37 tahun, yang kini bermain untuk Geylang International FC.
Bagi Amy Recha, 33 tahun, perjalanan ke dunia hartanah bermula selepas mendirikan rumahtangga.
Didorong oleh isterinya - yang juga ejen hartanah - Amy melihat kerjaya ini sebagai peluang baru untuk berkembang.
“Saya tak pernah paksa diri, tapi bila tengok abang ipar dan isteri berjaya dalam bidang ni, saya fikir, kenapa tidak? Cuma yang susahnya, exam dia - saya ambil tujuh kali baru lulus!” katanya sambil ketawa.
Peperiksaan kelayakan untuk menjadi ejen hartanah bukanlah mudah. Amy mengambil masa dua tahun setengah untuk menamatkannya.
“Saya dah hampir nak putus asa. Tapi isteri saya cakap - jangan berhenti, cuba lagi. Akhirnya, saya lulus juga. Itu rezeki,” ujarnya.
Sementara itu, Shahdan mula mendekati bidang tersebut seawal 2017 - jauh sebelum ramai pemain bola sepak lain memilih laluan yang sama. Namun perjalanan itu juga tidak mudah, malah terhenti seketika apabila beliau bermain di luar negara.
“Saya mula ambil kursus pada 2017, tapi tak sempat duduki peperiksaan sebab masa tu saya bermain di Melaka. Lepas balik Singapura dan selepas Coid-19 mula reda, baru saya sambung semula. Alhamdulillah, akhirnya berjaya,” jelas Shahdan.
Nama Shahdan Sulaiman tidak asing lagi bagi peminat bola sepak tempatan.
Dengan lebih 90 caps atau penampilan bersama pasukan nasional, beliau dikenali sebagai pemain tengah berpengalaman yang berdisiplin dan rendah hati.
Beliau mengakui sifatnya yang pendiam di luar padang banyak dipengaruhi oleh era latihan yang keras dan budaya bola sepak lama yang menekankan ketegasan mental.
“Dulu, senior-senior kami garang. Tapi daripada situ saya belajar erti ketabahan. Kadang-kadang sampai rasa nak berhenti bola, tapi sekarang bila fikir balik, semua itu yang membentuk mental saya,” katanya.
Antara kenangan manis yang masih segar di ingatannya ialah jaringan sepakan percuma menentang Indonesia - momen yang turut diingati Amy sebagai detik paling istimewa dalam kerjayanya.
“Walaupun kalah malam tu, rasa macam menang. Semua orang beri 120 peratus. Bila Syahdan jaringkan gol tu, satu stadium berdiri, bersorak. Itu game yang saya tak akan lupa,” kata Amy.
Namun jalan ke puncak bukan tanpa cabaran. Amy pernah berdepan kecederaan serius dan krisis keyakinan diri sehingga hampir meninggalkan bola sepak pada 2017.
“Saya cedera banyak kali, sampai terfikir nak berhenti. Tapi isteri saya kata, jangan give up. Teruskan. Akhirnya pada 2021, saya dapat debut bersama pasukan nasional — pada usia 29 tahun,” jelasnya dengan penuh syukur.
Beliau kini melihat ketekunan dan disiplin sebagai kunci utama - sama ada dalam bola sepak mahupun dalam jual beli rumah.
“Apa pun kerja, sikap tak mudah mengalah tu penting. Kalau gagal sekali, cuba lagi. Macam exam ejen hartanah tu lah, tujuh kali pun saya ambil sampai lulus,” tambahnya sambil ketawa.
Bagi kedua-dua pemain ini, pengalaman mereka menjadi cerminan realiti kehidupan ramai pemain tempatan yang hanya ditawarkan kontrak singkat, lazimnya hanya setahun.
“Bila masuk hujung musim, semua risau - tahun depan main kat mana? Kalau cedera, mungkin tak disambung. Jadi ramai mula fikir langkah kedua,” kata Shahdan.
Amy pula menambah bahawa inilah sebab mengapa lebih ramai pemain kini mencari laluan alternatif seperti menjadi jurulatih, pemandu Grab, atau ejen hartanah.
“Tak salah kerja apa pun, tapi kalau boleh biarlah kerja yang ada masa depan dan boleh bantu orang. Jadi ejen ni bukan saja rezeki tambahan, tapi juga cara saya bantu orang cari rumah impian mereka,” ujarnya.
Walaupun sudah berjaya dalam bidang baru, Shahdan menegaskan beliau masih belum bersedia ‘menggantung but’.
“Saya masih cintakan bola sepak. Bila orang tanya saya pasal ‘posting viral’ tu, sebenarnya saya bukan merungut. Saya cuma luahkan perasaan. Kalau ini posting terakhir saya sebagai pemain, biarlah orang tahu saya hargai perjalanan ni,” jelasnya, merujuk kepada catatan beliau di Instagram di mana beliau memberi gambaran telah meninggalkan bola sepak kerana tiada tawaran dari kelab,
Rezeki nyata masih menyebelahinya apabila Geylang International menawarkan kontrak beberapa minggu sebelum, musim baru bermula.
“Kalau dah tertulis rezeki, tak ke mana. Saya bersyukur masih boleh bermain dan menyumbang untuk pasukan,” katanya.
Kini, kedua-duanya melihat bola sepak dan hartanah sebagai dua dunia yang saling melengkapi - satu membina disiplin, satu lagi membuka peluang baru.
“Macam dalam bola sepak, dalam bidang ejen pun kena kerja keras, kena ada strategi dan keyakinan,” kata Amy.
“Tak ada jalan pintas. Kalau nak berjaya, latihan dan ketekunan itu kuncinya,” tambah Shahdan.
Dan apabila ditanya tentang tagline peribadi mereka sebagai ejen hartanah?
Amy tersenyum sambil menjawab:
“Nama saya Amy Recha, dan jangan lupa - saya jual rumah!”
Shahdan pula ketawa kecil sebelum menjawab dengan gaya tenang:
“Simple je - Shahdan gets it done.”
Daripada sepakan percuma yang menggegarkan stadium hingga tandatangan perjanjian rumah yang mengubah kehidupan pelanggan, kisah Shahdan Sulaiman dan Amy Recha membuktikan bahawa semangat juang pemain bola sepak sejati tidak pernah padam - sama ada di dalam atau di luar padang.
Bagi mereka, bola sepak mungkin satu bab yang indah, tetapi perjuangan sebenar untuk masa depan baru sahaja bermula.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg