Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari Wallsend Boys Club ke pemain termahal Man City, Elliot Anderson sasar langkah seterusnya
Dari Wallsend Boys Club ke pemain termahal Man City, Elliot Anderson sasar langkah seterusnya
Pemain berusia 23 tahun akan sertai City selepas rehat tiga minggu dari Piala Dunia
Dari Wallsend Boys Club ke pemain termahal Man City, Elliot Anderson sasar langkah seterusnya
LONDON: Pemain tengah England, Elliot Anderson, berkata kebangkitannya daripada pemain muda di sebuah kelab terkenal di Tyneside sehingga menjadi pemain England paling mahal ketika menyertai Manchester City berlaku lebih pantas daripada yang dijangkakannya.
Namun, beliau yakin yang terbaik masih menantinya.
Pemain itu secara rasmi menyertai Manchester City pada 23 Julai menerusi kontrak lima tahun selepas berpindah dari Nottingham Forest.
City dilaporkan membayar £116 juta ($199.5 juta) untuk mendapatkan khidmatnya, sebelum Chelsea memecahkan rekod itu dengan membayar lebih tinggi bagi mendapatkan pemain tengah Aston Villa, Morgan Rogers.
Pemain berusia 23 tahun itu akan menyertai City selepas rehat tiga minggu susulan Piala Dunia, di mana beliau bermain dalam tujuh daripada lapan perlawanan England.
“Saya rasa ia berlaku agak pantas, tetapi saya sentiasa percaya saya boleh mencapai tahap ini, dan inilah tempat yang saya inginkan.
“Kini saya berada di sini, saya akan terus berusaha dan cuba memajukan kelab.
“Saya baru berusia 23 tahun, oleh itu, saya masih ada banyak masa untuk mencapai tahap terbaik saya, dan masih ada lebih banyak lagi yang bakal saya tunjukkan,” kata Anderson, dalam satu kenyataan kelab.
Anderson mengikut jejak beberapa pemain hebat England di Wallsend Boys Club, di mana bekas penyerang Newcastle United dan England, Alan Shearer, serta pemain tengah, Peter Beardsley, turut memulakan perjalanan mereka.
Beliau melalui barisan pemain muda Newcastle dan pernah dipinjamkan ke Bristol Rovers sebelum mengukuhkan kedudukannya dalam pasukan pertama.
Beliau kemudiannya berpindah ke Forest dengan bayaran £35 juta pada 2024, seterusnya membuat 92 penampilan merentasi semua pertandingan, menjaringkan enam gol dan menyediakan 11 ‘assist’ (bantu jaringan gol).
Pemain tengah itu juga menyerlah pada musim lalu apabila mencatat larian membawa bola paling banyak dalam kalangan pemain England di Liga Perdana, selain melakukan hantaran terbanyak di kawasan sepertiga akhir padang.
Anderson berkata beliau mampu membawa pelbagai kekuatan kepada Manchester City, sekali gus memperkukuhkan lagi barisan tengah yang sudah dibarisi pemain hebat seperti kapten juara Piala Dunia Sepanyol, Rodri, selain Nico Gonzalez, Mateo Kovacic, Tijjani Reijnders, Rayan Cherki dan Phil Foden.
Kehadiran Anderson menandakan permulaan era baharu di Manchester City selepas Pep Guardiola meninggalkan kelab itu, sekali gus menutup tirai sedekad yang dipenuhi pelbagai kejuaraan.
Enzo Maresca, penggantinya, mempunyai tugas besar untuk dipenuhi, tetapi Anderson kagum dengan gaya permainan bekas jurulatih Leicester City dan Chelsea itu.
“Saya sungguh menantikan perkara itu.
“Saya telah menonton pasukannya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini dan bercakap dengan beberapa pemain dari Chelsea, dan mereka semua menilainya dengan sangat tinggi,” katanya.
Walaupun impian Piala Dunia England akhirnya terhenti selepas tewas di separuh akhir menentang Argentina, Anderson berkata beliau berpuas hati dengan persembahannya.
“Ia mengecewakan, tetapi saya sendiri menikmatinya.
“Sebagai satu pasukan, saya rasa kami mendapat sokongan seluruh negara dan kami telah tampil dengan sangat baik tetapi hanya tersasar sedikit,” tambahnya.
Mengenai sebab beliau memilih City, Anderson berkata: “Saya rasa mereka pemenang, mereka tidak kenal erti berhenti, dan itulah jenis pasukan yang saya mahu sertai – menjadi juara dan mereka yang memenangi trofi.” – Reuters.