Topik diikuti
Pergi ke BHkuDarren Yap raih gangsa kedua, kali ini dalam acara taekwondo maya
Catat pencapaian unik raih pingat dalam kedua-dua acara taekwondo fizikal dan maya yang diperkenalkan buat kali pertama
Darren Yap raih gangsa kedua, kali ini dalam acara taekwondo maya
NAGOYA: Sambil melangkah keluar diiringi lagu hip-hop, Bring da Ruckus, nyanyian Wu-Tang Clan, atlet Singapura, Darren Yap, kelihatan berseronok sambil melakukan tarian tular hit the woah, sebelum melakar satu lagi sejarah buat sukan taekwondo Singapura.
Yap merangkul pingat keduanya di temasya Sukan Asia menerusi pingat gangsa bersama dalam acara individu campuran taekwondo maya pertama pada 2 Oktober.
Pencapaian itu menyusuli kejayaan meraih pingat gangsa bersama bagi acara poomsae individu lelaki pada 1 Oktober yang merupakan pingat taekwondo Sukan Asia pertama buat negara ini.
Pencapaian terbaharu penuntut universiti berusia 22 tahun berkenaan agak unik kerana beliau berjaya meraih pingat dalam kedua-dua acara taekwondo fizikal dan maya.
“Ia terasa sukar dipercayai. Kejayaan pingat semalam (1 Oktober) masih belum benar-benar dihadam kerana saya perlu bersiap sedia untuk hari ini.
“Saya datang ke sini dengan gembira dan tersenyum disebabkan keputusan semalam, dan saya gembira dapat menambah satu lagi pingat. Selepas semua ini, barulah saya boleh benar-benar menikmati saat ini,” kata Yap.
Beraksi di Gimnasium Besar Toyohashi City, Yap terlebih dahulu menewaskan atlet Kyrgyzstan, Alisher Asymbek Uluu 2-0 (660-0, 360-0) pada pusingan pertama.
Yap kemudian menewaskan atlet Iran, Amirsina Bakhtiari 2-0 (80-0, 580-20) di pusingan suku akhir bagi mengesahkan pingat kedua beliau.
Di pusingan separuh akhir, beliau tewas 0-2 (640-0, 800-0) kepada atlet Vietnam, Chau Ngoc Tuyet Sang.
Dalam acara taekwondo maya tanpa mengira jantina ini, atlet memakai set kepala realiti maya (VR) dan peranti pengesan pergerakan untuk bertanding dengan lawan di alam maya.
Menerusi cermin mata khas itu, mereka dapat melihat avatar serta bar tenaga (health bar) lawan.
Matlamat perlawanan adalah untuk mengurangkan mata pada bar tenaga lawan sehingga sifar, atau mengumpul mata tertinggi pada akhir pusingan yang berlangsung selama satu minit itu.
Ini dilakukan dengan mendaratkan tendangan ke bahagian kepala atau badan avatar lawan.
Pemenang ditentukan sekiranya memenangi dua daripada tiga pusingan.
Mereka juga tidak dibenarkan keluar dari garisan sempadan, yang akan mengecil sekiranya tiada sebarang pergerakan dilakukan dalam tempoh tertentu – sebagai cara untuk memaksa atlet bertarung.
Acara yang kali pertama dipertandingkan itu berdepan masalah kalibrasi dan penyambungan sehingga menyebabkan pertandingan itu terpaksa ditangguhkan kira-kira 20 minit.
Atlet – yang kadangkala bertarung di alam maya sambil menghadap belakang badan lawan masing-masing di alam nyata ketika melompat di atas tikar – turut dilihat mengambil masa rehat untuk membetulkan peranti pengesan pergerakan di kaki mereka yang beralih.
Terdapat juga persoalan sama ada acara itu benar-benar sukan taekwondo atau sepatutnya dikategorikan di bawah e-sukan.
Yap berkata: “Ia satu pandangan yang wajar, tetapi apabila anda mencuba teknologi dan permainan ini, anda mungkin akan faham bahawa ia serupa dengan taekwondo tradisional, cuma tanpa unsur sentuhan fizikal seperti dalam pertarungan biasa.”