LONDON: Roberto De Zerbi berkata kemenangan bersejarah 2-0 pasukannya, Tottenham Hotspur, ke atas saingan dari London, Chelsea, membuktikan skuad kendaliannya mempunyai mentaliti juara apabila mereka bangkit daripada permulaan musim yang hambar.

Spurs menang di Stamford Bridge dalam saingan Liga Perdana England (EPL) hanya untuk kali kedua dalam tempoh 36 tahun dan yang pertama sejak 2018.

Perjalanan merentasi ibu negara ke barat London sebahagian besar merupakan pengalaman yang hambar buat Spurs sepanjang empat dekad yang lalu.

Namun, anak didik De Zerbi menikmati kunjungan yang tidak dapat dilupakan ke Stamford Bridge pada 24 Oktober – hasil gol sendiri daripada penjaga gol Chelsea, Mike Penders, dan jaringan lewat yang memukau daripada Mathys Tel selepas bintang pasukan tuan rumah, Cole Palmer, dibuang padang.

“Ia adalah detik mengujakan bagi para peminat, kelab dan juga pemain. Mereka layak meraih kemenangan ini, mereka bersedia dengan sangat baik. Prestasi kami banyak meningkat dari segi mentaliti serta hubungan sesama pemain yang kemudian terserlah di dalam padang,” kata De Zerbi

Spurs memulakan musim baru ini dengan rekod hambar enam perlawanan liga tanpa kemenangan, membangkitkan igauan bergelut lagi dalam zon penyingkiran selepas mereka nyaris tersingkir dari EPL pada hari terakhir musim lalu.

Dengan tekanan yang semakin memuncak terhadap De Zerbi, pengurus asal Italy itu telah mengeratkan hubungan antara para pemainnya menerusi sesi makan bersama dan lawatan ke Marbella.

Kemenangan ke atas pasukan yang baru menganjak naik, Coventry, pada 19 Oktober meredakan ketegangan di sekitar kelab utara London itu dan kejayaan menumpaskan The Blues (gelaran Chelsea) adalah satu lagi ganjaran untuk pasukan De Zerbi.

“Kini ia adalah sebuah pasukan yang lengkap. Apabila kami makan malam bersama dan meluangkan masa bersama... saya dapat melihat kumpulan yang berbeza, hubungan yang berbeza dan semangat pemain yang berbeza,” katanya.

Spurs mula hilang kepercayaan daripada penyokong setia mereka selepas satu lagi permulaan musim yang hambar.

Namun, De Zerbi menegaskan bahawa beliau tidak pernah meragui pasukannya yang akan kembali ke landasan betul.

“Saya yakin dengan keupayaan kumpulan pemain ini. Saya tidak pernah hilang keyakinan terhadap para pemain saya,” tambahnya.

Bagi pengurus Chelsea, Xabi Alonso, ia merupakan satu kekecewaan yang menyakitkan apabila semangat yang dicetuskan oleh kemenangan berturut-turut ke atas Bournemouth dan Everton musnah pada petang yang dibadai hujan.

Pasukan kendalian Alonso menduduki tangga keempat tetapi masih lagi dalam proses pembinaan selepas kekalahan liga ketiga dalam musim pertamanya mengemudi kelab di Stanford Bridge itu.

“Kami semua kecewa dengan keputusan ini, dengan prestasi secara kolektif dan individu... yang jelas, kami tidak berada pada tahap terbaik,” katanya.

Alonso enggan menyalahkan Penders atau Palmer atas peranan mereka dalam kekalahan tersebut. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti