
SEMASA kecil, pemain bola sepak Singapura, Madhu Mohana hanya mampu melihat idolanya dari jauh - menerusi kacaTV sahaja.
Pada ketika itu, peluang untuk bersemuka dan belajar daripada pemain negara amatlah kurang.
Oleh itu, pada Disember 2022, Madhu melancarkan sebuah inisiatif, 'Football Masterclass with Madhu Mohana', atau 'Masterclass' Bola Sepak bersama Madhu Mohana, untuk mendekati dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang berminat menjadi pemain bola profesional sambil memupuk nilai hidup dalam diri mereka.
"Ini adalah tahun ke-15 saya sebagai seorang pemain bola sepak," kata pemain pertahanan Balestier Khalsa berusia 32 itu.
"Saya mahu merapatkan hubungan antara kanak-kanak dengan pemain bola sepak sebab semasa saya kecil, saya sering menonton idola saya di televisyen tetapi tidak pernah berpeluang untuk bertemu dengan mereka."
Program bola sepak holistik itu disediakan untuk kanak-kanak daripada keluarga susah yang tidak mampu menampung yuran latihan profesional atau menyewa tempat untuk bermain bola sepak.
Peserta diajar kemahiran asas bola sepak dalam sesi 'masterclass' itu.
"Saya tidak mahu kanak-kanak masa ini rasa mereka tidak boleh menjadi pemain yang mereka tonton di televisyen. Sebaiknya adalah untuk kita mendekati kanak-kanak ini - melatih, berbual dan berkawan dengan mereka," tambah Madhu.
Program 'masterclass' itu berlangsung setiap hujung minggu dan sesi terakhirnya tamat pada Februari.
Sambutan program itu memberangsangkan, kata Madhu, dan beliau merancang untuk mengadakan musim kedua pada April.
"Kami telah mendekati 133 kanak-kanak dan pengalaman itu membuka mata saya sebab mereka benar-benar gembira untuk datang berlatih dan berbual bersama saya. Selepas sesi, ada yang bertanya saya tentang bagaimana menjadi seorang pemain profesional," kongsi Madhu.
"Ia membuat saya rasa ghairah dan mahu terus melakukan yang lebih dan menyumbang lebih banyak kepada masyarakat."
Program itu disokong oleh Geran Warga Aktif agensi sukan Singapura, Sport Singapore, yang membantu atlet Team Singapore (TeamSG) untuk menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi usaha mereka sendiri.
Madhu menambah:
"Geran ini membantu saya kerana sejujurnya jika saya tidak mendapat geran, saya mungkin tidak dapat melakukannya. Tempat latihan sendiri mahal.
"Kita sentiasa berbual tentang menyumbang kembali kepada masyarakat tetapi ia bukan mudah untuk atlet mengeluarkan $10,000 hingga $15,000 untuk berbuat sedemikian. Ini adalah inisiatif yang baik daripada TeamSG." - ZULAIQAH ABDUL RAHIM


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg