LONDON: Max Verstappen hanya berusia dua setengah tahun ketika ibu bapanya mula sedar beliau mungkin akan menjadi seorang pemandu kereta lumba.

Budak lelaki itu, yang kemudian membesar dan berjaya menamatkan penguasaan Lewis Hamilton sebagai juara dunia Formula Satu (F1) dalam gaya penuh drama minggu lalu, "dilihat menunggang motosikal empat roda di taman setiap hari", imbas Jos Verstappen, bapa Max dan juga bekas pelumba grand prix yang mencatat dua keputusan podium sepanjang kerjaya antara 1994 dengan 2003.

"Pada hari kedua atau ketiga selepas dia berjaya menunggang, dia mula menaiki motosikal dua roda. Dia terpaksa menyesuaikan diri pada cara menunggang dan melanggar tepi dinding. Nasib baik dia memakai topi keledar, yang dilihat tercalar. Tapi, dia tidak kisah.

"Dia memandu sepanjang masa. Dia serasi dengan enjin. Tidak kira sama ada ia motosikal empat roda, jip elektrik - kenderaan kecil untuk kanak-kanak - atau apa sahaja. Dia sentiasa sibuk memandu. Setiap hari dia perlu melakukannya."

Verstappen seperti yang dikatakan Jos, "membesar dengan go-kart". Mereka merupakan keluarga pelumba - ibu Max, Sophie Kumpen, ialah bekas pemandu go-kart tahap tinggi semasa remaja, yang bersaing bersama pemandu F1 Jenson Button, Jan Magnussen, Giancarlo Fisichella dan Jarno Trulli.

Jos berkata: "Saya tidak mahu dia mula terlalu awal. Saya mahu dia mula sekitar usia enam tahun. Saya rasa itu usia yang baik untuk mula - sekurang-kurangnya mereka ada pemahaman yang lebih baik."

Namun, si cilik Verstappen mempunyai rancangan lain. Beberapa tahun selepas kejadian motosikal empat roda di taman, Jos mendapat panggilan ketika berada di luar negara untuk perlumbaan di Canada bersama pasukan go-kartnya.

Max ketika itu berada di trek perlumbaan dekat rumah mereka di Genk di Belgium bersama ahli keluarga. "Dia menangis," imbas Jos. "Dia berusia empat setengah tahun dan ada orang yang lebih muda memandu dan dia juga mahu memandu. Jadi, sejak ia semuanya bermula."

Kejadian itu berlaku pada 2002. Pada hujung 2003, kerjaya F1 Jos sendiri pun telah gagal.

"Selepas itu, saya benar-benar meletakkan tumpuan 100 peratus pada kerjaya dia," kata Jos, "Itu tugas saya."

Apa yang menyusul kemudian adalah kisah cinta dan dedikasi, yang berakhir dengan kemunculan seorang pemandu yang berbakat luar biasa.

Anak kepada bapa pemandu FI dan ibu pemandu go-kart yang berjaya. Max Verstappen - kini 24 tahun - sememangnya lahir untuk menjadi pemandu F1.

Apabila perkara itu menjadi jelas, bapanya kemudian mengatur program yang berkesan untuk menjadikannya pemandu F1.

"Tanpa bapa saya, saya tidak akan berada di sini sekarang," kata Max. "Sejak dia berhenti berlumba dalam F1, dia menghabiskan masanya untuk mempersiapkan saya dengan cara yang terbaik. Kami membesar bersama, dia adalah mekanik go-kart saya. Dia akan memandu van dari Belanda atau Belgium untuk pergi ke semua perlumbaan go-kart saya di serata Eropah.'

Selepas kejadian menangis di Genk, Jos membeli Max kereta go-kart yang sesuai untuk bayi.

"Kami masih simpan go-kart itu," kata Jos. "Ia digantung di kedai Verstappen. Saya ingat kali pertama dia duduk dalam go-kart itu. Ia tidak laju, tapi serta-merta mencapai tahap kelajuan maksimum dan go-kart itu kerap bergetar sehinggakan karburetor selalu jatuh.

"Jadi sehari selepas memandu go-kart itu, saya membelikan dia go-kart mini. Kami harus buat banyak kerja penyesuaian kerana dia sangat kecil. Go-kart itu kemudian menjadi lebih sesuai untuk berlumba."

Jos berkata pada asalnya ia lebih kepada "kita lihat apa yang akan terjadi". Itu kemudian pantas bertukar menjadi "Ayuh kita bersaing di Formula 1".

"Jika dia tiada bakat, saya mungkin tidak akan bermatian-matian berusaha sebab perlumbaan go-kart sangat mahal sekiranya ada ingin bersaing di peringkat antarabangsa. Jadi, kami berlatih.

"Tapi anda boleh lihat, berbanding semua kanak-kanak seusianya, keupayaan dia pastinya lebih baik daripada yang lain. Selain itu, kami bersaing dengan kanak-kanak yang dua atau tiga tahun lebih tua dan itu menunjukkan perbezaan yang amat besar."

Verstappen mengambil bahagian dalam perlumbaan go-kart sulungnya pada usia tujuh tahun. Pesaingnya berusia setua 11 tahun. Verstappen menang perlumbaan itu.

"Ia sukar," kata Jos, "sebab tayarnya lembut dan mencengkam dan di akhir perlumbaan, anda boleh lihat dia letih. Tetapi itu menunjukkan perwatakannya, cara dia bersaing. Dia tidak kisah jika orang lain lebih tua atau apa pun, dia mahu menang. Anda boleh lihat perwatakan itu sentiasa ada dalam dirinya."

Sepanjang kerjaya F1 Verstappen, keinginan beliau untuk menang adalah sangat jelas, sebahagiannya dilihat daripada sikap beliau yang suka berterus-terang dan keunikan tujuannya untuk berjaya. Bahkan ini juga dilihat dalam cara beliau memandu.

Verstappen secara melampau menunjukkan sikap agresifnya, sesuatu yang menjadi antara aspek utama dalam pertarungannya dengan Hamilton tahun ini. Beliau tidak akan berundur ketika berlumba 'wheel to wheel', walaupun pemandu lain elak melakukan sedemikian kerana etika perlumbaan mengatakan mereka tidak harus melakukannya.

Jika Verstappen berada di bahagian pemandu lain, beliau akan menolak pemandu itu ke luar; jika beliau berada di bahagian luar pemain lain, beliau akan masuk ke bahagian dalam pemandu itu dan bersaing, tidak kira sama ada amalan standard perlumbaan yang akan menentukan siapa yang menang, dan beliau terpaksa harus mengaku bersalah atas perlumbaan agresifnya. Begitulah cara dia berlumba.

Jos berkata beliau "tidak tahu" dari mana Verstappen meraih gaya perlumbaan sebegitu. "Dia melakukannya dalam go-kart," katanya, "jadi saya tidak melihat apa-apa yang berbeza. Ketika dia melihat jurang, ketika dia rasa dia boleh melepasi pemain lain, dia akan merebut peluang itu."

Namun, Frits van Amersfoort, pemilik pasukan kereta lumba Belanda yang mengendali Verstappen dalam Formula 3 (F3) pada 2014, berkata: "Jos memandu sebegitu juga. Sikap itu datang dari Jos. Kami punya banyak kunjungan dari pegawai dalam tahun F3 dan ia sentiasa mengenai perkara sama. Seorang pemandu bernama Verstappen tidak boleh kalah. Mereka tidak dapat menerima hakikat mereka telah kalah."

Ketua pasukan Red Bull Christian Horner, yang berlumba dengan ibu Verstappen dalam go-kart, bersetuju: "Ia datang daripada bapanya. Ibunya seorang pelumba bijak. Dia mendapat sikap agresif daripada bapanya dan kepintaran berlumba daripada ibunya." - Agensi berita.