Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

FOKUS BINTANG

Haaland disebut-sebut jadi pemain terbaik dunia baru

Dec 07, 2020 | 05:30 AM



DORTMUND (Jerman): Erling Braut Haaland seperti tidak boleh berhenti menjaringkan gol.



Setiap minggu nama Haaland disebut-sebut apabila beliau menjaringkan gol atau memecahkan satu lagi rekod. Melihat statistik pemain Borussia Dortmund berusia 20 tahun itu, tidak banyak dapat diperkatakan lagi.



Namun, baru-baru ini kelab Bundesliga itu mengesahkan bahawa penyerang berbisa mereka mungkin tidak dapat beraksi selepas mengalami kecederaan kaki sehingga Januari.



Pemain antarabangsa Norway itu membuat tujuh penampilan untuk negaranya dan menjaringkan enam gol - yang pertama dijaringkan sekitar dua bulan lalu.



Beliau juga ditampilkan sebanyak 13 kali untuk Dortmund musim ini dan berjaya menjaringkan 17, termasuk enam dalam saingan Liga Juara-Juara.



Pemain muda itu telah menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan terakhir berturut-turut, sementara dua golnya ketika menentang Club Brugge pada 25 November lalu menyaksikan beliau mencatat 16 gol Liga Juara-Juara dengan mengambil perlawanan yang lebih kurang berbanding pemain lain.



Dengan kejayaan itu, beliau mengatasi rekod bintang Brazil Ronaldo dan Adriano.



Baru-baru ini, beliau juga dinobat sebagai pemain muda terbaik Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) - yang diberikan kepada pemain terbaik berusia 21 tahun ke bawah dari liga utama Eropah.



TERUS BANGKIT PAMERKAN BAKAT



Ia mungkin sesuatu yang dapat dijangkakan bahawa Haaland sekali lagi akan terus mempamerkan persembahan cemerlang setelah melakar 44 gol dalam 40 penampilan yang luar biasa untuk dua kelab yang berbeza musim lalu.



Haaland menyertai Dortmund dari Red Bull Salzburg pada awal musim ini dan tidak membuang masa menunjukkan bakatnya.



Beliau pernah dinobat sebagai pemain muda terbaik pada Januari meskipun hanya beraksi selama 59 minit.



Dalam siangan Liga Juara-Juara, pertandingan yang beliau gemari sehingga perlu mendengar lagu pertandingan itu sewaktu memandu, Haaland menjadi pemain muda pertama menjaringkan 10 gol dalam satu musim.



Gol itu dijaringkan dalam tujuh perlawanan, sekali gus menjadikan beliau pemain terpantas menjaringkan 10 gol atau lebih dalam sejarah Liga Juara-Juara.



PERLUKAH BELIAU BERPINDAH KELAB UNTUK MENGEMBANGKAN BAKATNYA?



Tidak dapat dinafikan bahawa Borussia Dortmund merupakan salah satu kelab terkemuka Eropah, namun jika Haaland meneruskan persembahannya ini, ia mungkin sukar untuk kelab Jerman itu mengekalkan bintang pemain mereka itu, dengan beberapa kelab besar menanti untuk mendapatkan tandatangannya.



Haaland dijangka akan terus kekal bersama Dortmund untuk jangka masa dua tahun lagi, namun banyak laporan mengatakan klausa membeli semula dengan harga 75 juta euro ($121 juta) akan diaktifkan pada 2022.



Harga tersebut mungkin terlalu rendah jika beliau terus menjaringkan gol untuk kelab dan negara.



Jelas, Haaland dilahirkan untuk mengecap kemenangan. Beliau mempunyai tahap semangat yang serupa seperti Cristiano Ronaldo dan Zlatan Ibrahimovic, yang menjadi idolanya.



Dortmund masih belum mampu menjadi juara Bundesliga sejak lapan tahun yang lalu dan Haaland juga belum dilahirkan apabila kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara pada 1997.



Sekiranya mereka masih perlu menanti untuk mencapai piala utama, keinginan menjadi pemain terbaik dunia akan melihat beliau meneliti peluangnya bersama kelab lain di masa hadapan.



Manchester United sebelum ini pernah meluahkan minat mereka terhadap pemain itu, namun sama ada mereka dapat memberinya peluang memenangi liga dan pertandingan Eropah pada tahun-tahun mendatang masih belum dapat dipastikan.



Selain United, Real Madrid berminat mendapatkan tenaga pemain itu dan pernah menyatakan bahawa Haaland menetap keinginan menyarung kelab Sepanyol itu.



Terdapat juga minat daripada Leeds United - kelab yang disokong Haaland sejak kecil kerana bapanya, Alf-Inge, pernah beraksi untuk kelab tersebut. Namun, pemindahan ke kelab yang baru mendapat promosi ke Liga Perdana England itu mungkin mustahil.



Jika beliau terus melakarkan persembahan cemerlang, tidak dapat dinafikan lebih banyak kelab akan berminat menjadikan beliau bintang mereka.



BERAKHIRNYA ERA MESSI DAN RONALDO



Selama lebih dari 15 tahun, peminat bola sepak sering berdebat siapakah antara Messi, 33 tahun dengan Ronaldo, 35 tahun, merupakan pemain terbaik dunia.



Kedua-dua pemain hebat ini tidak dapat meneruskan kerjaya mereka buat selama-lamanya... jadi adakah Haaland bersedia menjadi pengganti mereka?



Jurulatih negaranya, Lars Lagerback, pernah berkata Haaland mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi pemain terbaik dunia.



"Saya mungkin sudah berkecimpung dalam sukan ini lama, tetapi saya tidak pernah melihat seorang pemain selepas Messi dan Ronaldo, yang bakatnya terserlah pada usia yang muda," kata Lagerback selepas Haaland menjaringkan gol sulungnya bersama pasukan negara September lalu.



"Ia satu perkara yang unik dan beliau mempunyai semua yang diperlukan untuk menjadi pemain hebat dunia.



"Dengan kualiti yang terdapat dalam dirinya dan perwatakannya yang sering fokus sepenuhnya - dan jika beliau dapat elak dari sebarang kecederaan serius, beliau mampu menjadi pemain terhebat."



PEMAIN MUDA LAIN YANG PERLU DIBERI PERHATIAN



Terdapat ramai bakat pemain muda lain yang perlu diberikan perhatian yang sama.



Selain Haaland, Kylian Mbappe, yang baru berusia 21 tahun, juga kelihatan seperti ditakdirkan berada di atas.



Dua pemain muda Dortmund lain, Jadon Sancho dan Jude Bellingham, juga antara pemain muda England yang mampu melangkah jauh.



Terdapat juga pemain seperti Pedri yang baru berusia 17 tahun. Beliau kini sering mendapatkan nasihat dari Messi, yang menjadi rakan sepasukannya di Barcelona.



Sementara itu, pemain midfield Rennes berusia 18 tahun, Eduardo Camavinga, telah ditampilkan sebanyak tiga kali untuk pasukan Perancis, menjaringkan satu gol. Beliau mendapat perhatian beberapa kelab terbesar di dunia yang berebut mendapatkan khidmatnya.



Namun, meskipun senarai pemain yang disebutkan ini amat menarik, tidak ramai yang mampu melakar kejayaan seperti Haaland pada usia yang muda.



Jika sentuhan Haaland masih berbisa, rekod yang dipegang Messi dan Ronaldo ketika ini, suatu hari mungkin akan diancam! - Agensi berita




BAKAT TERSERLAH PADA USIA MUDA



Saya mungkin sudah berkecimpung dalam sukan ini lama, tetapi saya tidak pernah melihat seorang pemain selepas Messi dan Ronaldo, yang bakatnya terserlah pada usia yang muda.

Ia satu perkara yang unik dan beliau mempunyai semua yang diperlukan untuk menjadi pemain hebat dunia.

Dengan kualiti yang terdapat dalam dirinya dan perwatakannya yang sering fokus sepenuhnya - dan jika beliau dapat elak dari sebarang kecederaan serius, beliau mampu menjadi pemain terhebat.

- Lars Lagerback, jurulatih Norway, mengenai Haaland, yang dikatakan mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi pemain terbaik dunia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >