SEVILLA: Erling Braut Haaland meneruskan form jaringan gol menakjubkan dalam Liga Juara-Juara Eropah untuk membantu Borussia Dortmund menewaskan Sevilla 2-3 di tempat lawan.
Dortmund ketinggalan awal dalam perlawanan itu selepas Fernández Saez (Suso) menjaringkan gol pembuka tirai pada minit ketujuh bagi pasukan tuan rumah.
Mahmoud Dahoud menyamakan kedudukan pada minit ke-17, sebelum Haaland menjaringkan gol ke-17 dan ke-18 beliau dalam 13 perlawanan Liga Juara-Juara untuk memastikan Dortmund memasuki masa rehat dengan kelebihan 1-3.
Namun, Luuk de Jong menjaringkan gol kedua Sevilla pada penghujung perlawanan, memberi Sevilla harapan menterbalikkan keputusan menerusi agregat dalam perlawanan kedua pusingan kalah mati pertama itu pada 9 Mac.
Dalam pada itu, Porto menjaringkan satu gol dalam setiap separuh masa perlawanan untuk menewaskan Juventus 2-1 di tempat sendiri.
Mehdi Taremi merampas bola daripada hantaran Rodrigo Bentancur yang terlalu perlahan dan menyempurnakan peluang itu, memberi Porto kelebihan seawal saat ke-63.
Juventus gagal mengatur sebarang serangan bahaya, kecuali apabila Adrien Rabiot menguji penjaga gawang Porto dengan tendangan akrobatik yang berjaya ditampar keluar.
Kegagalan Juventus menemui sasaran itu membuka peluang bagi Moussa Marega menggandakan jaringan bagi Porto sejurus separuh masa kedua bemula.
Namun, Federico Chiesa menjaringkan gol bagi Juventus pada minit ke-82, yang bermakna kededua pasukan masih boleh memenangi persaingan antara mereka pada perlawanan kedua di Turin nanti. - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg