PENYERANG Hougang United Sahil Suhaimi dan pemain midfield Tampines Rovers Syed Firdaus Hassan dipilih menyertai skuad bola sepak national Singapura bagi dua perlawanan persahabatan minggu ini.

Mereka akan menggantikan pemain sayap Faris Ramli dan Song Ui-young (kedua-dua Lion City Sailors) bagi perlawanan menentang Vietnam dan India. Faris mengundurkan diri kerana isterinya hamil anak kedua mereka, manakala Song sedang bergelut dengan kecederaan.

Kali terakhir Sahil, 30 tahun, menyarung jersi Singapura pada November 2019. Beliau diundang kembali selepas menunjukkan persembahan baik di Liga Perdana Singapura (SPL), menyumbang empat gol, lima assist dalam 15 penampilan musim ini.

Bagi Syed Firdaus, 24 tahun, ini panggilan pertamanya. Beliau menunjukkan kebolehan baik di tengah padang selepas menyumbang empat assist dalam lapan perlawanan SPL musim ini.

Penambahan Syed Firdaus ke dalam skuad nasional bermakna tiga muka baru bakal membuat penampilan pertama mereka bagi Singapura minggu ini - selepas penyertaan penjaga gawang Hougang United Mukundan Maran dan pemain midfield Geylang International Joshua Pereira.

Sebelum ini, jurulatih Takayuki Nishigaya berkata beliau memilih pemain berdasarkan prestasi mereka di SPL.

"Saya telah menonton setiap perlawanan SPL untuk memerhatikan persembahan pemain dan memilih pemain yang benar-benar layak diundang ke skuad nasional. Kini saya ingin menyaksikan sendiri sumbangan yang boleh diberi pemain-pemain yang diundang ini kepada pasukan," katanya dalam satu sidang media minggu lalu.

Nishigaya, 49 tahun, juga ingin menggunakan dua perlawanan itu sebagai persiapan Piala AFF Mitsubishi Electric akhir tahun ini. Pasukan Singa berangkat ke Ho Chi Minh semalam dan memulakan ujian pertama menentang Vietnam di Stadium Thong Nhat esok. Mereka menghadapi India pada 24 September.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti