Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Dua wajah masa depan bola sepak wanita S'pura

Putri, Afiqah gigih imbangi persekolahan dengan mengejar cita-cita dalam bola sepak
Apr 01, 2018 | 05:30 AM



APA persamaannya antara Putri Nur Syaliza Sazali dengan nama-nama popular skuad bola sepak nasional seperti Hariss Harun, Safuwan Baharudin, Shahdan Sulaiman dan Shakir Hamzah?



Seperti segelintir pemain nasional Singa ini yang pernah menjaringkan gol semasa beraksi di Stadium Negara yang baru di Hab Sukan Singapura, Putri boleh berbangga dengan pencapaian yang sama - menjaringkan gol sulungnya bagi pasukan wanita bola sepak nasional semasa menewaskan Maldives 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan awal bulan lalu.



Lebih membanggakan, Putri ketika itu masih berusia 14 tahun (beliau akan hanya menyambut hari lahirnya yang ke-15 tahun 12 hari selepas perlawanan itu) dan mendapat undangan menyertai skuad nasional pimpinan jurulatih K. Balagumaran sekitar seminggu sahaja sebelum pertarungan itu.



Rembatan kaki kirinya yang memperdayakan penjaga gawang Maldives itu tentu sekali kenangan yang akan terus terpahat dalam hati pelajar Sekolah Menengah Queensway ini.



Salah seorang rakannya, Nur Afiqah Omar, turut memainkan peranan penting di jentera midfield pasukan semasa kemenangan penyuntik semangat ke atas Madives itu.



Kini berusia 16 tahun, Afiqah mula mendapat panggilan skuad negara ialah sekitar dua tahun lalu - semasa satu perlawanan persahabatan dengan Sri Lanka pada awal 2016.



Bekas pelajar Sekolah Menengah Greenview yang akan melanjutkan pelajaran ke Politeknik Nanyang tidak lama lagi ini turut berpeluang menyarungi jersi nasional semasa menewaskan Guam 3-0 - juga dalam satu perlawanan persahabatan - yang diadakan di Stadium Jalan Besar pada lewat tahun lalu.



Yang pasti, kededua Afiqah dan Putri serta beberapa rakan muda mereka yang lain termasuk Nur Umairah Mohd Hamdan dan Dorcus Chu (kededuanya 15 tahun), Nur Raudhah Kamis (18 tahun), serta Nur Shahira Sulaiman, Stephanie Dominguez dan Nur Farhanah Ruhaizat (ketiga-tiganya 19 tahun) merupakan muka-muka harapan dalam usaha skuad Singa wanita ini mengorak langkah lebih cerah.



Mula bermain bola sepak sejak usianya empat tahun, Putri, anak bongsu dalam keluarga lima beradik akui sampai menitiskan air mata kegembiraan selepas golnya yang bersejarah di Stadium Negara itu.



"Saya terlalu gembira... dapat membuat keluarga saya bangga sekali dengan gol itu," ujar Putri semasa ditemui sebelum sesi latihan pasukan nasional di Stadium Serangoon baru-baru ini.



"Sebenarnya saya tidak sangka akan bermain tetapi apabila coach Bala memanggil nama saya untuk masuk ke padang, ia sesuatu yang mengejutkan... gementar juga rasanya kerana takut jika saya melakukan kesilapan dan melihat pasukan kami dihukum gara-gara kesilapan itu.



"Tetapi untuk mendengar sorakan penyokong sebaik kejayaan menjaringkan gol itu, ia satu perasaan yang hebat sekali.



"Ia juga meningkatkan azam saya untuk bekerja keras lagi agar dapat terus bermain dengan pasukan nasional... kejayaan tak akan datang dengan sedirinya, saya perlu berlatih dengan gigih jika mahu mencapai cita-cita saya dalam bola sepak," tambah Putri yang turut mencatatkan kecemerlangan apabila menjaringkan 42 gol semasa membantu sekolahnya menjuarai kejohanan Antara Sekolah-Sekolah Divisyen 'C' Nasional tahun lalu.



Mewakili kelab Warriors, potensi bakat yang dimilikinya turut diiktiraf apabila Putri dinobatkan Anugerah Pemain Muda Terbaik dalam majlis anugerah bola sepak wanita anjuran Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) tahun lalu.



Mewakili kelab Tampines-Changkat CSC, Afiqah turut memendam cita-cita tinggi dalam sukan ini yang diceburinya sejak berada di Sekolah Rendah Coral.



Afiqah pernah mencuba beberapa sukan lain termasuk renang, badminton dan silat tetapi hatinya tetap terpaut pada bola sepak.



Beliau membuktikan potensinya yang besar dalam sukan ini apabila turut menjaringkan salah satu gol semasa kemenangan ke atas Guam tahun lalu.



"Memang betul... gol itu antara kenangan paling manis saya dalam sukan ini... membantu pasukan nasional memenangi perlawanan itu," ujar Afiqah, yang juga pernah muncul penjaring gol terbanyak semasa berada di darjah lima, darjah enam dan menengah dua kejohanan antara sekolah-sekolah nasional.



"Ia juga meningkatkan keyakinan dan semangat saya untuk berjaya dalam sukan ini... apatah lagi mendapat sokongan seluruh keluarga saya... malah nenek pun selalu beri sokongan kepada saya dalam sukan ini.



"Mudah-mudahan saya dapat terus pertingkatkan prestasi saya dan berharap dapat beraksi di luar negara suatu hari nanti," tambah Afiqah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >