Subuh
5:33
Syuruk
6:56
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
6:59
Isyak
8:14
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

MENJELANG PIALA DUNIA

Dulu setakat tengok, sekarang Taqi bakal adili perlawanan

Mimpi jadi kenyataan bagi pengadil S'pura terpilih antara 129 pengadil kejohanan terbesar bola sepak
Oct 29, 2022 | 05:30 AM



ACAP kali Muhammad Taqi Al-jaafari Jahari memperkenal dirinya sebagai pengadil bola sepak kepada keluarga dan teman-teman, ada sahaja tanggapan kurang elok yang menyindir tugasnya.



"Sepuluh tahun lalu, orang fikir menjadi pengadil buang masa. Masyarakat kurang tahu apa itu pengadil. Mereka hanya ada set minda yang menyifatkan pengadil sebagai referee kayu," ujar beliau.



Tak kenal maka tak cinta. Bulan depan, bukan Singapura sahaja, malah dunia akan mengenali warga tempatan berusia 36 tahun itu - beliau bakal menjadi pengadil Piala Dunia 2022 di Doha, Qatar.



Pada Mei lalu, Taqi diumumkan sebagai salah seorang daripada 129 pengadil terpilih untuk kejohanan terbesar bola sepak itu. Beliau turut mewakili Asia Tenggara sebagai satu-satunya pengadil dari rantau ini, bertugas sebulan di Qatar.



Taqi antara 24 pegawai perlawanan video yang bakal mengoperasi sistem video penolong pengadil (VAR), yang hanya digunakan buat kali kedua dalam kejohanan empat tahun sekali itu.



Baru-baru ini, Taqi juga dipilih McDonalds Singapore menjadi sebahagian daripada kempen Piala Dunia mereka.



Taqi memberitahu Berita Harian pelantikannya bagi Piala Dunia adalah mercu kerjayanya sepanjang 20 tahun.



"Impian setiap pengadil ialah sampai ke Piala Dunia. Itu matlamat utama," kata Taqi, pengadil warga Singapura kelima terlibat dalam Piala Dunia.



"Saya mengikuti Piala Dunia sejak kecil sebagai penonton. Tapi sekarang, saya dapat mewakili (negara) dan berada dalam pertandingan ini bersama pemain dan pengadil bertaraf dunia.



"Rasanya seperti satu impian menjadi kenyataan. Kadangkala, saya terfikir apakah benar atau tidak."



Pelibatan Taqi dalam dunia pengadilan bermula secara kebetulan pada usia muda 16 tahun setelah diajak sekumpulan rakannya menjalani satu kursus pengadil.



"Ketika itu, tiada orang jangka anak muda akan berminat mengambil kursus sebagai pengadil. Pada usia 16 tahun, ramai yang hanya fikir hendak bermain bola atau mewakili negara," ujar beliau, yang bergiat dalam sukan hoki di sekolah.



Sejak itu, minatnya menjadi pengadil berkembang daripada secara santai - mengendalikan perlawanan persahabatan amatur - kepada tahap profesional dalam liga tempatan dan di peringkat antarabangsa.



Taqi menjadi pengadil antarabangsa Fifa sejak 2012, mula mengadili secara sepenuh masa pada lewat 2015, dan kekal satu-satunya di Singapura buat masa ini. Beliau kini penolong pengurus jabatan pengadil di Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).



Namun, perjalanan Taqi sebagai pengadil tidak semuanya indah. Beliau terpaksa menelan beberapa pengajaran sukar pada awal kerjayanya.



Mengimbas kembali perlawanan paling teruk pernah beliau adili, Taqi berkata:



"Saya pernah melayangkan tiga kad merah dalam satu perlawanan liga amatur. Ketika itu, saya masih muda dan belum matang. Saya membuat keputusan menggunakan emosi, dan bukan sudut teknikal.



"Dalam perlawanan itu juga, persembahan pengadil dinilai (untuk menerima pentauliahan lanjut). Saya fikir kerjaya pengadil saya akan berakhir."



Bahkan beberapa tahun lalu, beliau pernah terfikir untuk menggantung wiselnya.



Dalam satu perlawanan antarabangsa pada 2016, keputusan Taqi menghadiahkan sepakan penalti dipertikai hangat.



Penalti itu membantu Jepun menang 2-1 ke atas Arab Saudi, menyebabkan negara Arab itu tercicir mata dalam kelayakan Piala Dunia mereka.



"Saya mendapat kata-kata kesat daripada media. Pada masa itu, keyakinan diri sangat rendah dan saya rasa susah hati dan tiada motivasi untuk mengadil perlawanan seterusnya.



"Saya takut saya melakukan kesilapan sama," ujarnya.



Namun, pengalaman pahit itu mendewasakannya.



Taqi kini diberi kepercayaan mengendalikan perlawanan berprofil tinggi sebagai pengadil utama.



Ini termasuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia antara Iran dan China di depan 80,000 penyokong di Stadium Azadi di Teheran pada 2017, dan perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang tegang antara kelab Iran Persepolis dan pasukan Arab Saudi Al Nassr pada 2020.



Sejak beberapa tahun lalu, beliau juga mahir sebagai pegawai perlawanan video, dilantik ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun 2017 di Korea Selatan dan Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila beliau ditugaskan bagi perlawanan akhir lelaki antara Brazil dan Sepanyol.



Dengan sistem VAR belum dilaksana di Singapura - meskipun usaha giat dijalankan untuk ia digunakan dalam Liga Perdana Singapura tahun depan - Taqi menghabiskan banyak masa berjauhan dari keluarga untuk mengasah kemahiran terbarunya di luar negara.



Persiapan beliau termasuk menghadiri seminar pra-Piala Dunia di Doha Jun lalu dan menghabiskan tiga minggu di Jepun pada Ogos untuk tugasan dalam perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara AFC.



Bulan lalu, beliau juga mengadili perlawanan Liga Thai.



Akur cabaran dan tekanan lebih besar menantinya dalam Piala Dunia, Taqi tidak mahu bersikap sambil lewa dan terus mempersiapkan diri sepanjang baki masa yang ada di Singapura.



"Selagi kita bekerja keras dengan usaha, tekad, tekun dan konsisten dalam apa yang kita lakukan, insya-Allah kita dapat capai matlamat kita.



"Pelantikan ke Piala Dunia ini adalah berkat usaha dan pengorbanan saya selama ini," kata bapa tiga cahaya mata itu - dua lelaki berusia lapan dan enam tahun dan seorang perempuan baru tujuh bulan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >