Topic followed successfully
Go to BHkuDuo srikandi silat kian perkasa
Duo srikandi silat kian perkasa
Duo srikandi silat kian perkasa
DALAM tempoh hampir 15 tahun yang lalu, nama-nama pesilat mapan seperti Saiedah Said, Atiq Syazwani Roslan serta adik-beradik Nurul Shafiqah dan Nurul Suhaila Saiful membentuk kelompok srikandi silat tanding Singapura.
Namun, kini bangkit generasi baru pesilat tanding wanita yang mana bintangnya semakin bersinar.
Antara mereka ialah Nadhrah Sahrin, 19 tahun, dan Khadijah Shahrem, 22 tahun.
Duo berbakat ini, antara lain telah memenangi pingat di Sukan Asia, Sukan SEA, Kejohanan Dunia, Asia dan Asia Tenggara.
Dalam tahun pertamanya bersaing dalam kategori senior pada 2022, Nadhrah memenangi emas dalam Kejohanan Asia Tenggara, sebelum meraih perak di Kejohanan Dunia dan Asia.
Kini, beliau melangkah setahap lebih tinggi.
Nadhrah akan diperkenalkan ke pentas Sukan SEA di Kemboja, yang berlangsung pada 5 hingga 17 Mei. Beliau akan beraksi dalam acara tanding puteri Kelas A (45-50kg).
Meskipun masih setahun jagung, namun jelas pengalaman yang diraih sepanjang tahun lalu telah mematangkan pelajar Politeknik Republic itu.
"Pastinya ada tekanan yang diletakkan untuk saya berjaya...Tetapi, saya kerap mengingatkan diri saya agar jangan biarkan ia menjejas tumpuan saya," kata beliau.
Nadhrah melihat juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2021, Suhaila, 28 tahun, sebagai inspirasi bagi srikandi silat tanding di Singapura.
"Selepas meraih tiga gangsa berturut-turut di Sukan SEA, baru Suhaila berjaya menang emas. Dia menjadi contoh bahawa kejayaan mengambil masa dan kita tidak boleh mudah putus asa," tambah Nadhrah.
Suhaila juga merupakan pesilat wanita pertama menerima biasiswa Kecemerlangan Sukan (spexScholarship).
Nadhrah baru-baru ini turut dianugerahkan spexScholarship, menyertai Khadijah dan Suhaila dalam program yang menyokong atlet berprestasi tinggi negara itu.
Selepas merangkul gangsa dalam penampilan sulungnya di Sukan SEA 2021, yang ditunda ke Mei 2022, Khadijah pula menyasar warna pingat yang berbeza dalam edisi kali ini.
Di Hanoi tahun lalu, pesilat acara tanding ini bersaing dalam Kelas F (70-75kg) - kelas baru dan lebih berat - berbanding acara Kelas D (60-65kg) yang biasa ditandinginya.
"Saya ikhlas menerima kekalahan tersebut," kata pemenang pingat gangsa di Sukan Asia 2018 itu.
Beliau disingkirkan oleh pesilat mapan Malaysia, Siti Rahmah Nasir, dalam separuh akhir Sukan SEA 2021.
"Tetapi, saya membawa pulang banyak pengajaran dan menjadi seorang pesilat yang lebih kuat," ujarnya lagi.
Sejak itu, Khadijah berjaya menggondol perak di Kejohanan Dunia 2022 sebelum meraih emas dalam Kejohanan Silat Perdana Antarabangsa Sarawak pada Mac 2023.
Beliau harap dapat meneruskan rentak itu di Sukan SEA.
"Sasarannya adalah emas. Tetapi, sebelum itu, saya ingin mengutamakan persembahan dalam gelanggang," tambahnya.
Di Sukan SEA 2023, Singapura akan diwakili lima pesilat tanding wanita. Mereka termasuk Suhaila (tanding puteri, Kelas E: 65-70kg), dan pasangan adik-beradik Tuhfah Izzah (tanding puteri, bawah 45 kg) dan Syaza Insyirah Roslan (tanding puteri, kelas B: 50-55kg). - ZULAIQAH ABDUL RAHIM
" Yang pasti ada tekanan yang diletakkan untuk saya berjaya...Tetapi, saya kerap mengingatkan diri saya agar jangan biarkan ia menjejas tumpuan saya."
- Nadhrah Sahrin.
"Saya ikhlas menerima kekalahan tersebut (di Hanoi).
Tetapi, saya membawa pulang banyak pengajaran dan menjadi seorang pesilat yang lebih kuat."
- Khadijah Shahrem.


