Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SEA KEMBOJA 2023: PANDANGAN

Emas lebih penting atau semangat kesukanan?

May 19, 2023 | 05:30 AM



KEMENANGAN adalah satu ketagihan.



Tiada siapa yang suka kalah dan bak kata pujangga, tiada siapa yang akan mengingati si naib juara.



Tetapi, sukan melebihi hanya merangkul pingat emas.



Ini walaupun sudah tertulis - adat pertandingan perlu ada pemenang dan juga yang dikalahkan.



Namun, pada dasarnya, temasya sukan diwujudkan dengan tujuan menghidupkan nilai-nilai murni dalam sukan bagi menyatukan negara-negara.



Kalah menang - itu 'belakang cerita'.



Semangat Sukan Olimpik berpegang pada nilai kecemerlangan, persahabatan dan rasa hormat. Tiga nilai teras Persekutuan Sukan Komanwel pula adalah kemanusiaan, masa depan dan kesaksamaan.



Nilai-nilai ini merangkumi apa yang dipanggil semangat kesukanan.



Bagaimanapun, ketika menaiki 'tuk-tuk' untuk membuat perjalanan dari gelanggang silat di Pusat Konvensyen Chroy Changvar ke kolam renang di Pusat Akuatik Morodok Techo, terdetik di hati satu persoalan - apakah erti kesukanan dalam Sukan SEA Kemboja?



Selama 18 hari pertandingan, pelbagai aksi yang berlaku di Kemboja, selaku tuan rumah pertama kali Sukan SEA. Ada detik manis mahupun juga yang kurang manis.



Zhou Meng, yang lahir di China, dilaporkan bersaing untuk Kemboja dalam acara berpasukan campuran badminton di bawah nama Chourng Meng.



Beliau menang semua perlawanannya, termasuk perlawanan penentu ganda wanita dalam final menentang Myanmar.



Semasa rakan sepasukannya mengerumuninya, beliau tiba-tiba dibawa pergi oleh seorang pegawai. Walaupun memaparkan prestasi sempurna, beliau tidak kelihatan dalam acara individu.



Beliau bukan satu-satunya yang bertanding di bawah nama samaran untuk pasukan tuan rumah, yang dilanda kritikan kerana memberi kewarganegaraan kepada atlet dari negara lain.



Kekecohan dan kontroversi tercetus juga dalam e-sukan apabila Indonesia menuduh Singapura menipu.



Indonesia pada mulanya dikenakan denda dalam perlawanan akhir sebelum menarik diri apabila ia dimulakan semula beberapa jam kemudian.



Kedua-dua pasukan akhirnya berkongsi pingat emas dalam persaingan penuh dramatik ini.



Dalam arena silat, cabutan undi yang sewenang-wenangnya diolah untuk memberi pasukan tuan rumah kelebihan dan pemarkahan juri yang berat sebelah menghadiahkan Kemboja dua emas sulung mereka dalam sukan itu.



Ini merupakan kali pertama Kemboja bertanding dalam silat di Sukan SEA.



Pelik Bin Ajaib.



Bagaimanapun, di kala reputasi buruk yang mencemar nama baik sukan, timbul detik inspirasi yang memaparkan semangat kesukanan yang sejati.



Pelari Singapura Soh Rui Yong mendapat pujian ramai kerana tindakannya memberi secawan air kepada pesaing perlumbaannya, Rikki Marthin Luther Simbolon.



Soh, yang jarak lariannya rapat dengan Marthin untuk sebahagian besar acara, berkongsi minumannya dengan pelumba Indonesia itu selepas pendahulu perlumbaan tersebut terlepas cawannya di tempat mengambil air.



Soh menamatkan perlumbaan dalam masa 31:10.70, di belakang Marthin (31:08.85) untuk meraih perak dan mencatat rekod kebangsaan baru.



Pertama, rakan sepasukan. Kedua, lawan dalam gelanggang.



Pelawan pedang Singapura Kiria Tikanah Abdul Rahman menghulurkan 'cold spray', atau ubat untuk merawat ketegangan otot, kepada rakan sepasukan Elle Koh, yang kelihatan mengalami kecederaan.



Ketika itu, perlawanan separuh akhir tersebut terikat pada 11-11 dengan baki sekitar 30 saat. Koh seterusnya meraih mata kemenangan dan kemudian muncul sebagai juara individu epee wanita.



Ditemui media selepas kemenangan Koh, Kiria berkongsi bahawa tiada kesesalan terhadap tindakannya.



"Hanya kerana ia adalah sukan individu, tidak bermakna anda tidak mempunyai pasukan anda di belakang anda," kata beliau.



Kisah-kisah menyentuh dan menyayat hati ini memberi pengajaran malah gambaran maksud semangat kesukanan kepada setiap atlet dan pasukan mereka.



Mana yang lebih penting - kemenangan atau semangat kesukanan?



Membawa pulang pingat untuk negara? Pencapaian anda diraikan.



Bertanding sambil menunjukkan semangat sukan? Tindakan anda menerima tepukan dan pujian.



Justeru, apa maksud sebenar semangat kesukanan? Letak diri anda dalam kasut seorang atlet, dan tepuk dada tanya selera.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >