LONDON: Pemain sensasi remaja tenis, Emma Raducanu, berkata ia agak "seronok" untuk menerima ucapan tahniah daripada para pemain lain di kejohanan Indian Wells, namun sekarang sudah tiba masanya bagi beliau meletakkan segalanya di belakang dan kembali fokus kepada sukan tersebut.

Juara Terbuka Amerika berusia 18 tahun itu telah mendapat kelonggaran untuk terus ke pusingan kedua pertandingan Terbuka BNP Paribas di California sebagai pemain nombor ke-17.

Beliau akan berdepan dengan pemain Colombia, Maria Camila Osorio Serrano atau Aliaksandra Sasnovich dari Belarus dalam perlawanan pertamanya sejak kemenangan di New York.

"Amat seronok sekali," kata pemain asal Britain itu, ketika ditanya mengenai perasaannya menerima ucapan tahniah daripada para pemain lain.

"Semua pemain mempunyai hubungan yang baik antara mereka dan mereka begitu ramah dengan saya walaupun saya seorang muka baru, jadi amat seronok sekali.

"Tapi saya pun tidak mempunyai begitu banyak masa kerana lebih banyak menghabiskan masa di latihan, melakukan apa yang saya perlu lakukan, dan kemudian pulang untuk berehat," ujarnya lagi.

Sejak menjadi pemain pertama yang memenangi Grand Slam meskipun perlu melayakkan diri bagi pertandingan berkenaan, Raducanu telah dijemput menghadiri pelbagai acara penting dan glamor, termasuk tayangan perdana filem James Bond terbaru.

Beliau menambah: "Tiga minggu lalu ini merupakan pengalaman yang menakjubkan sekali. Apa yang saya lalui, mungkin tidak akan saya rasakan lagi sepanjang hayat saya. - AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti