Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SAJIAN KHAS HARI INI: TOKOH SUKAN

Empat keperibadian corak hidup Fandi

May 29, 2022 | 05:48 AM



KEAZAMAN, Dedikasi, Disiplin dan Pengorbanan.



Empat nilai keperibadian inilah yang mencorak kehidupan Fandi Ahmad, ikon sukan setempat yang menjadi inspirasi kepada ramai, termasuk generasi muda.



Mungkin ramai yang hanya ketahui kisah perjalanan Fandi - bagaimana seorang anak Melayu setempat yang mempunyai impian dan cita-cita tinggi untuk mewakili Singapura mampu menakluki arena bola sepak rantau ini dan juga Eropah.



Namun di sebalik setiap kejayaannya, banyak pengorbanan yang harus dilakukan dan empat nilai tersebut, yang dikenali sebagai 'Fandi 3DS', telah menjadi pendamping beliau dalam mengharungi liku-liku hidupnya.



Kisah kehidupan yang penuh dengan pengajaran itu telah Fandi dedahkan dalam biografi terbarunya Fandi: Honour & Sacrifice yang ditulis oleh Pengarah Kreatif WriteHaus Asia, Cik Durga Poonambalam.



Semasa wawancara bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini, legenda bola sepak negara yang pernah menerbitkan buku pertamanya, The Fandi Ahmad Story pada 1993, berkata beliau menghasilkan biografi terbarunya ini kerana ingin berkongsi tentang bagaimana beliau melayari bahtera kehidupan peribadinya, menjangkaui bola sepak.



"Kisah saya yang pernah dilaporkan kebanyakannya menceritakan tentang Fandi Ahmad sebagai seorang pemain bola sepak dan kerjaya saya, namun saya jarang memaparkan usaha yang perlu diletakkan untuk mengecap kejayaan itu.



"Dengan buku baharu ini, saya ingin berkongsi tentang latar belakang saya dari semasa saya kecil hingga sekarang, susah senang yang saya lalui dan bagaimana saya mendapat motivasi dan inspirasi daripada orang-orang di sekeliling terutama kedua-dua ibu bapa dan keluarga," kata Fandi yang akan melancarkan biografinya itu hari ini, bersempena dengan hari jadinya yang ke-60.



Melalui buku setebal 170 muka itu, pembaca akan mengenali Fandi sejak zaman kanak-kanak, persekolahan, keluarga, teman-teman, penglibatannya dalam bolasepak, malah buku ini\ juga mengetengahkan kisahnya sebagai seorang suami dan bapa kepada lima orang anak, dan bagaimana dia membesarkan keluarga yang berjaya.



Di samping itu, dia juga merakamkan kisah pahitnya seperti sewaktu isterinya jatuh sakit serta ketika dia mengendalikan perniagaan yang gagal sehingga menjeratnya dalam masalah kesempitan kewangan.



Semua itu menurutnya telah dijadikan sebagai iktibar dan hanya melihatnya dari sudut yang positif.



Mengenai judul biografinya yang terbaharu ini, Fandi berkata buku ini mencerminkan kisah perjalanan hidup beliau sebagai seorang atlet yang tidak pernah kenal erti mengalah atau hilang kepercayaan kepada diri sendiri.



Perkataan 'Honour' atau penghormatan misalnya melambangkan perasaan setiap kali dapat mewakili Singapura.



"Dari kecil memang saya mempunyai impian untuk bermain untuk Singapura. Saya sering lihat atlet Singapura yang mewakili negara di temasya sukan Olimpik dan sebagainya memakai seragam merah dan putih dan berkata kepada diri sendiri saya juga mahu menjadi seperti mereka



"Itu yang mendorong saya untuk berusaha dan bekerja keras untuk mengejar cita-cita saya itu," tambah Fandi.



Menukil petikan daripada biografinya, Fandi menegaskan bahawa "pengorbanan ialah faktor yang tidak boleh dirunding apabila mengejar impian anda".



"Adakalanya dalam hidup kita terpaksa melepaskan sesuatu yang kita hargai untuk sesuatu yang lebih bermakna. Ini sangat sukar untuk dilakukan," jelasnya.



Menerusi biografi ini, Fandi berharap agar dapat menyuntik semangat dan juga dapat menerapkan semangat kepada bakat-bakat muda dalam mengejar impian mereka.



Dia juga berharap agar dengan nilai 3DS itu, generasi muda dan yang akan datang juga dapat sama mengharumkan nama negara ini satu hari nanti, sepertimana yang telah dia lakukan satu ketika dahulu.



"Saya harap ini sedikit sebanyak boleh menjadi peta jalan untuk mereka mengejar impian mereka.



"Semasa saya membesar, saya sentiasa percaya bahawa perkara yang paling penting bukanlah untuk mempunyai gaya hidup dalam bola sepak, tetapi kehidupan dalam bola sepak. Begitu juga dengan sukan lain. Itulah perbezaannya.



"Dan saya juga sentiasa memberitahu pelajar dan anak-anak saya bahawa jika kita mempunyai kemahiran tetapi tidak mempunyai kemahuan atau azam yang tinggi, ia sukar untuk kita melangkah lebih jauh.



"Apa yang penting ialah cara kita mahu melakar perjalanan kita sendiri. Jika kita benar-benar mahu mencapai sesuatu, kita akan bekerja keras untuk mencapainya dan tidak pernah berputus asa," tambahnya lagi.




"Dan saya juga sentiasa memberitahu pelajar dan anak-anak saya bahawa jika kita mempunyai kemahiran tetapi tidak mempunyai kemahuan atau azam yang tinggi, ia sukar untuk kita melangkah lebih jauh.

Apa yang penting ialah cara kita mahu melakar perjalanan kita sendiri. Jika kita benar-benar mahu mencapai sesuatu, kita akan bekerja keras untuk mencapainya dan tidak pernah berputus asa."

- Fandi Ahmad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >