Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Empat perkara pasukan Singa boleh perbaiki

Mar 27, 2024 | 05:05 PM



Masih banyak perkara yang pemain bola sepak kebangsaan Singapura perlu perbaiki, walaupun ketua jurulatih baru, Tsutomu Ogura, dapat menaikkan semangat juang dan kecekalan mereka dalam waktu singkat beliau bersama pasukan Singa.

Pasukan nombor ke-156 dunia, Singapura seri 2-2 ketika menentang China, yang menduduki ranking ke-88 dunia, dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 pada 26 Mac di Stadium Negara.

Namun, mereka tewas 1-4 di Tianjin, China, lima hari kemudian.

Kededua perlawanan itu – yang pertama dikendalikan Ogura sejak dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 1 Februari – menyaksikan detik positif dan kemajuan dalam bola sepak Singapura.

Namun, jurulatih warga Jepun itu dan kakitangan kejurulatihannya perlu duduk bincang, kenal pasti dan meneliti bahagian yang perlu diperkuat.

Berikut ialah empat bahagian yang Ogura mungkin dapat menambah baik sebelum tempoh perlawanan antarabangsa seterusnya: 

1. Kukuhkan pertahanan


Enam gol telah membolosi gawang Singapura dalam dua perlawanan kelayakan menentang China pada Mac. Ia statistik yang tidak membanggakan. 

Kebanyakannya dianggap sebagai gol mudah – sama ada pemain Singa hilang tumpuan mengawasi lawan atau kubu pertahanan Singapura mudah ditembusi ketika diserang balas.

Ogura membariskan beberapa gandingan bek tengah yang berbeza dalam dua perlawanan itu. 

Di Stadium Negara, beliau menurunkan Safuwan Baharudin dan Lionel Tan. Pasangan itu tidak bertandang ke Tianjin kerana dikenakan penggantungan.

Pemain midfield, Hariss Harun, yang juga kapten Singa, dan Irfan Fandi dikerahkan memulakan perlawanan di Tianjin. Mereka dilihat mengekalkan garisan tinggi untuk menjerat pemain lawan dalam kedudukan ofsaid.

Namun, ada kalanya taktik itu memakan diri sendiri apabila pasukan China dengan mudah menembusi benteng pertahanan Singapura dan menghasilkan gol.

Pemain bek penuh, Zulqarnaen Suzliman dan Nazrul Nazari, ada waktunya juga terkial-kial untuk menghalang hantaran dari bahagian sayap dan mudah diatasi lawan yang lebih laju.

2. Kreativiti dalam midfield


Dalam kededua perlawanan itu, yang jelas ialah Singapura mendambakan seorang pemain midfield yang kreatif dan mempunyai pandangan jauh untuk memulakan serangan. Satu nama yang terlintas di fikiran ramai penyokong Singa ialah Shahdan Sulaiman.

Shahdan, 35 tahun, yang sudah 89 kali mewakili Singapura, tidak disertakan dalam aksi kelayakan kali ini.

Namun, kaliber pemain midfield Hougang United itu adalah bahagian yang hilang dalam strategi permainan Ogura, terutamanya apabila beliau menurunkan hanya seorang atau dua penyerang pada satu masa.

Apabila menguasai bola, pemain Singa harus cepat dan tepat menghantar bola ke depan untuk mencari penyerang seperti Ikhsan Fandi, Faris Ramli dan Shawal Anuar.  Sebaliknya, mereka tidak konsisten – ada kalanya hantaran mereka kurang kemas dan perlahan.

Seorang pengguna, @footyinsg, di platform X menulis: “Harhys (Stewart) dan Jacob (Mahler) menyediakan enjin (pasukan), tetapi kita kini memerlukan seorang jurutera.”

Mungkin kehadiran pemain BG Tampines Rovers, Kyoga Nakamura, dapat mengukuhkan bahagian midfield Singa. Nakamura, 27 tahun, yang berasal dari Jepun, baru-baru ini mendapat status sebagai Penduduk Tetap (PR) dan dapat mewakili Singapura.

3. Memperbaharui skuad


Sudah tiba masanya Ogura menyuntik kesegaran dalam skuad Singa dengan muka baru. Dua perlawanan itu memberi gambaran bahawa tempoh aksi antarabangsa bagi beberapa pemain senior mungkin sampai ke penghujungnya tidak lama lagi.

Nazrul dan Hariss, kededuanya 33 tahun, beberapa kali mudah diatasi lawan, manakala Zulfahmi Arifin, 32 tahun, tidak dapat memberi banyak impak apabila dimasukkan.

Mereka adalah pemain hebat dan disegani pada zaman kegemilangan mereka, tetapi kemajuan bola sepak Singapura di bawah Ogura perlu berpandangan ke depan dan lebih mengetengahkan bakat generasi seterusnya.

Pelapis pemain senior itu sudah harus diberikan peluang dan pendedahan beraksi di pentas antarabangsa.

Harhys dan abangnya, Ryhan, yang diturunkan dalam kededua perlawanan menentang China, adalah contoh terbaik.  

Usaha yang tidak kenal penat lelah dan keinginan menggelecek bola melepasi lawan ketika menyerang serta meletakkan tekanan pada seteru dalam pertahanan amat mengagumkan.

Ryhan dan Harhys, masing-masing beraksi dalam Liga 1 Thai untuk BG Pathum United dan Chiangrai United, dan hanya berusia 24 tahun dan 23 tahun.

4. Cari formasi tepat


“Kami mahu tunjukkan bola sepak kita,” kata Ogura beberapa kali ketika diwawancara media mengenai matlamatnya. Tetapi, apa itu bola sepak Singapura yang dimaksudkannya?

Pertanyaan itu belum terjawab kerana menentang China, pasukan Singa tidak memaparkan persembahan yang benar-benar mengagumkan. 

Pada 21 Mac, Singapura memulakan perlawanan bersikap defensif – menyusun formasi 4-5-1 – sebelum menyerang habis-habisan pada separuh kedua untuk menyekat China 2-2. 

Di Tianjin, Ogura mengerahkan dua penyerang dalam sistem permainan 4-1-3-2, membolehkan Singapura menghantar lebih banyak pemain untuk mengancam gawang lawan. Namun, ia juga menyebabkan benteng pertahanan Singa lebih mudah dibocori. Ogura perlu memikirkan semula formasi terbaik bagi Singapura, dengan kekuatan pemain yang ada.

Kesimpulannya, meskipun kempen kelayakan Piala Dunia Singapura boleh dikatakan telah tamat – Singa terperosok di tangga corot dalam kalangan empat pasukan Kumpulan C dengan hanya satu mata daripada empat perlawanan – Ogura harus telah mempelajari banyak tentang pasukan barunya.

Perlawanan kelayakan seterusnya pada Jun menentang Korea Selatan dan Thailand boleh digunakan sebagai wadah untuk beliau menguji pemain dan taktik, sebelum berdepan ujian sebenarnya dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean pada November.

Berilah Ogura masa untuk membuat Singa mengaum semula.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >