LONDON: Pengurus pasukan bola sepak nasional England Gareth Southgate berkata beliau menganggap pasukannya gagal jika ia gagal melangkah ke separuh akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2020, yang bermula minggu depan.
Pasukan bergelar Three Lions itu melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan jika mara ke final Euro 2020, akan bermain hampir kesemua perlawanannya di Wembley.
Hanya satu perlawanan akan dijalankan di negara lain.
Menjawab soalan wartawan mengenai penilaiannya jika pasukannya gagal ke separuh akhir, Southgate berkata: "Ia, saya rasa ia satu kegagalan."
"Kami bersikap realistik tentang perkara ini dan harus menjalani hidup dengan jangkaan tersebut."
Beliau menambah: "Apakah kami bersedia untuk menang? Kami telah melangkah ke dua separuh akhir dan langkah seterusnya ialah mara ke peringkat selanjutnya."
Southgate telah menamakan skuad 26 orang bagi Euro 2020, yang bermula pada 11 Jun.
Beliau, yang sebelum ini memimpin Middlesbrough, dilantik bagi jawatan pengurus England pada September 2016 dan memimpin pasukan itu ke kedudukan terbaiknya dalam pertandingan utama sejak 1990 apabila Three Lions melayakkan diri ke separuh akhir Piala Dunia 2018 di Russia.
Menyusuli itu, pasukan England mara ke separuh akhir Liga Negara-Negara.
"Kami tahu ramai ghairah apabila bercakap tentang England dan ini satu perkembangan hebat. Kami telah menjadi relevan semula," kata Southgate.
England memulakan kempen Euro 2020 dengan perlawanan menentang finalis Piala Dunia Croatia, diikuti perlawanan dengan jiran Scotland pada 18 Jun.
Pada 22 Jun, England bertemu Republic Czech dalam perlawanan terakhir Kumpulan D.
Southgate telah menamakan empat pemain bek kanan dalam skuadnya, dan berkata beliau akan memilih lima atau enam bek kanan jika dapat.
Pemain Liverpool Trent Alexander-Arnold, yang digugurkan daripada skuad itu beberapa minggu lalu, dipilih semula bersama Reece James daripada Chelsea, Kieran Trippier daripada Atletico Madrid dan Kyle Walker daripada Manchester City.
"Kami mempunyai empat pemain yang kadangkala beraksi di posisi bek kanan bagi kelab mereka.
"Mereka antara 26 pemain bola sepak terbaik England pada masa ini dan itu sebabnya saya memilih mereka.
"Di Euro, kami beraksi dengan pengetahuan beberapa kecederaan boleh melanda pasukan ini.
"Oleh itu, kami memerlukan pemain baik yang boleh beraksi mengikut taktik dan menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan, dan kami bertuah kerana mempunyai kededua pemain tua dan muda yang boleh memenuhi keperluan kami," kata Southgate.
Beliau juga memilih kapten Liverpool Jordan Henderson dan kapten Manchester United Harry Maguire dalam skuadnya, meskipun kededuanya cedera dan tidak beraksi dalam banyak permainan tempatan musim lalu.
Musim ini, semua negara dibenarkan menamakan 26 pemain dalam skuad mereka, tambahan tiga pemain berbanding kejuaraan Euro lalu, disebabkan pandemik Covid-19, yang dianggap telah menjejas persiapan pasukan.
Southgate berkata Maguire dan Henderson masih perlu berusaha gigih untuk kembali cergas, tetapi mereka boleh memberi sumbangan di luar padang kerana ketokohan mereka sebagai ketua dan ciri kepimpinan mereka.
"Sebagai contoh, pengaruh Henderson mendatangkan kesan terhadap pemain lain, terutama yang lebih muda.
"Memilih beliau dan Maguire dalam skuad ini adalah satu perkara mudah, terutama selepas kami diberi peluang memilih 26 pemain," kata Southgate. - Agensi berita.