LONDON: Tidak dinafikan England mempunyai laluan lebih mudah - sekurang-kurangnya secara teori - untuk ke final Euro 2020, lantas menjadi pilihan untuk menang dalam perlawanan suku akhir hari ini (awal pagi Ahad waktu Singapura) menentang Ukraine.
Namun, satu perkara yang kejohanan ini telah tunjukkan ialah - jangan mengetepikan pasukan underdog, atau bukan pilihan.
Ukraine bertekad menamatkan perjalanan anak buah Gareth Southgate dalam perlawanan di Rome ini, sekali gus untuk ia mara ke separuh akhir.
Dipimpin oleh antara pemain terbaik mereka dan dunia - pemenang Ballon d'Or 2004 - Andriy Shevchenko, Ukraine sudah mencipta sejarah kejohanan Eropah sendiri dengan melangkah ke suku akhir buat kali pertama.
Tetapi, berupayakan serangan Ukraine mengancam England? Bolehkah pasukan Shevchenko menambah satu lagi kejutan dalam senarai kejutan yang sudah dilihat dalam kejohanan ini?
Ukraine mara ke suku akhir pertama mereka dalam mana-mana kejohanan utama sejak 2006 hasil gol saat akhir dalam waktu tambahan menentang Sweden.
Ini selepas mereka layak ke suku akhir sebagai pasukan tempat ketiga terakhir dalam pusingan kumpulan dengan hanya tiga mata - menang 2-1 ke atas Macedonia Utara dan kalah 3-2 kepada Belanda serta 1-0 di tangan Austria.
Menduduki ranking ke-24 di dunia, Ukraine hanya pernah menewaskan England, pasukan nombor empat dunia, sekali dalam tujuh percubaan - 1-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2009.
"Mesej saya kepada pemain ialah yakin pada diri. Kami berada di sini dan ini adalah peluang kami untuk mengubah masa depan dan kami telah melakukannya. England pasukan hebat, banyak pemain hebat dan pengurus hebat. Ia akan menjadi perlawanan sukar buat kami," ujar Shevchenko.
Pakar bola sepak Ukraine Adam Bates berkata kepada BBC Radio 5 Live: "Menang, kalah atau seri, kita hanya mahu beri persembahan terbaik. Semua tekanan akan ada pada England dan tiada pada Ukraine. Siapa tahu? Kisah-kisah pelik telah berlaku dalam kejohanan ini."
England pula akan cuba meneruskan persembahan hebat mereka selepas kemenangan bersejarah 2-0 ke atas Jerman dalam persaingan kelompok 16 terakhir di Wembley Selasa lalu.
Namun, pengurus England Gareth Southgate sedang menimbangkan untuk kembali ke formasi empat pemain pertahanan, dengan Ukraine menimbulkan ancaman serangan berbeza.
Untuk mengatasi Jerman, beliau menggunakan tiga pemain bek, dengan formasi 3-4-3, buat kali pertama sejak November.
Southgate juga telah jelas menyatakan beliau tidak akan memilih pemain bagi pasukannya untuk memenuhi kehendak atau menggembirakan penyokong, sebaliknya kekal dengan pendekatan taktikal dan pragmatik.
Beliau dijangka terus menggunakan dua pemain holding midfield dalam perlawanan di Stadio Olimpico ini.
"Dalam perlawanan besar, statistik memberitahu anda bahawa pertahanan sering kritikal," jelasnya.
"Anda melihatnya di final Liga Juara-Juara, anda pernah melihatnya di kejohanan masa lalu.
"Kami berusaha menjadi pasukan yang mempunyai kesabaran untuk mempertahankan bola. Saya bermain untuk England bertahun-tahun di mana kami terus beri pemilikan bola kepada lawan, dan kami terpaksa mengejar dalam keadaan sukar. Ini adalah masalah besar."
Penyerang Manchester City Raheem Sterling akan menjadi pemain penting buat England setelah beliau memaparkan persembahan cemerlang di Euro 2020 sejauh ini.
Sterling menjaringkan tiga gol, termasuk gol pembukaan menentang Jerman, untuk membantu Three Lions ke suku akhir.
Pemain berusia 26 tahun itu meledakkan 15 gol dalam 20 perlawanan terakhirnya buat England, setelah tumpul dalam 27 perlawanan sebelum itu. - Agensi berita.
Ramalan warwatan Zulaiqah Rahim
KEDEDUA pasukan pastinya terangsang mencatat kemenangan di Rome esok, setelah cemerlang dalam perlawanan kelompok 16 terakhir.
England dan Ukraine menunjukkan perwatakan kuat mereka - kesungguhan dan ketekukan berjuang hingga ke hujung perlawanan. Yang memisahkan mereka ialah mutu pemain.
England ada kelebihan - lihat bangku simpanan Gareth Southgate. Pengurus itu memiliki antara bakat muda terbaik Eropah, Mason Mount, Phil Foden, Jack Grealish dan Jadon Sancho.
Setiap daripada penyerang itu dapat mengubah keadaan permainan. Penyertaan Grealish dalam separuh kedua ketika kedudukan terikat 0-0 menentang Jerman adalah contoh baik.
Namun, Ukraine telah membuktikan mereka lawan hebat yang boleh menyengat. Penyerang England, Harry Kane dan Raheem Sterling, perlu klinikal di depan gawang itu, kerana mungkin satu saja cukup untuk mereka ke separuh akhir.
SUKU AKHIR EURO 2020
AWAL PAGI INI:
- Switzerland lwn Sepanyol - Belgium lwn Italy
Pasukan mana yang mara dan yang tersingkir? Baca laporan perlawanan suku akhir ini di BH.sg.
ESOK (waktu Singapura):
- Republik Czech lwn Denmark Waktu: 12 malam -Ukraine lwn England Waktu: 3 pagi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg