ROME/BAKU: England semakin yakin dapat mencipta sejarah melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Eropah sejak 1996, bahkan berpeluang merebut kejuaraan antarabangsa utama yang pertama kali sejak 1966, selepas menundukkan Ukraine di perlawanan suku akhir Euro 2020.
Harry Kane menjaringkan dua gol sedang England berjaya memasuki peringkat separuh akhir Euro 2020 dengan kemenangan berat sebelah, 4-0 ke atas Ukraine di Rome pada Sabtu.
Kane telah menamatkan kemarau jaringan antarabangsa apabila menyumbang gol pada 16 minit terakhir dalam perlawanan menumpaskan Jerman pada pertengahan minggu dan kemudian membolehkan England mendahului permainan menerusi jaringan empat minit dalam perlawanan di ibu kota Italy itu.
"Ini adalah persembahan hebat dari semua pihak, malam yang sempurna untuk kami," kata Kane.
Pasukan pimpinan Gareth Southgate itu kemudian mengesahkan kedudukannya dengan menyumbat dua lagi gol pada awal separuh kedua perlawanan - satu daripada Harry Maguire sebelum Kane menjaring sekali lagi.
Pemain gantian Jordan Henderson menjaringkan gol keempat England, yang akan bertemu Denmark di perlawanan separuh akhir di Wembley pada Selasa nanti.
Perlawanan kali ini menyebelahi England, dengan Ukraine tentunya dilihat sebagai lawan yang lemah dalam peringkat suku akhir, memandangkan mereka pernah tewas di tangan pasukan seperti Italy dan Portugal dalam Kejohanan Eropah baru-baru ini.
Pasukan Ukraine pimpinan Andriy Shevchenko ternyata gagal dalam usaha membawa negara itu buat julung kali ke pusingan separuh akhir kejohanan besar itu.
"Kami boleh berbangga. Jelas kami tidak mendapat hasil yang kami mahukan tetapi kami berada di landasan yang betul," kata Shevchenko.
Namun prestasi England sejauh ini memberangsangkan, dengan menghadapi lima perlawanan tanpa menerima sebarang gol membolosi gawang.
Tidak kira siapa pun pesaing mereka, permainan mereka di Stadio Olimpico merupakan satu peningkatan berbanding dengan perlawanan-perlawanan sebelumnya di Euro.
"Sebenarnya sangat bagus bagi kami bermain di luar Wembley kerana amat sukar meniru suasana dalam permainan menentang Jerman, jadi untuk datang ke sini (Rome) membuat persiapan yang berbeza, bermain di stadium bersejarah pada malam yang indah untuk bola sepak, saya rasa ia memberi inspirasi kepada para pemain," kata Southgate.
England akan kembali ke Wembley awal Khamis (waktu Singapura) bagi perlawanan separuh akhir menentang Denmark, dengan kira-kira 60,000 penonton dijangka hadir sedang pihak berkuasa Britain melonggarkan sekatan walaupun terdapat peningkatan kes koronavirus di negara itu baru-baru ini.
Sementara itu, Denmark meraih kemenangan hasil sokongan para peminat, kata jurulatih Kasper Hjulmand berikutan kemenangan 2-1 dalam peringkat suku akhir, ke atas Czech Republic di Baku, Azerbaijan.
Gol jaringan separuh pertama oleh Thomas Delaney dan Kasper Dolberg sudah mencukupi untuk menyaksikan anak didikan Hjulmand bertemu dengan England di Wembley, meskipun pasukan Czech bertungkus-lumus mencari peluang didorong oleh jaringan kelima Patrik Schick sejauh ini dalam perlawanan.
Denmark telah menjaringkan 10 gol kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir selepas memulakan kejohanan ini dengan dua kekalahan, yang pertama berlaku dalam kejadian mengejut apabila Christian Eriksen mengalami serangan jantung di padang. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg