Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Era baru bagi Newcastle bermula

Oct 9, 2021 | 5:30 AM
DIALU-ALU PENYOKONG: Penyokong merai berita mengenai perubahan pemilikan Newcastle di luar stadium St James' Park kelmarin. - Foto REUTERS
DIALU-ALU PENYOKONG: Penyokong merai berita mengenai perubahan pemilikan Newcastle di luar stadium St James' Park kelmarin. - Foto REUTERS -

LONDON: Pasukan bola sepak Liga Perdana England (EPL) Newcastle United kini milik konsortium yang disokong Arab Saudi. Semalam, entiti itu melengkapkan pembelian bernilai £305 juta ($564 juta) yang diluluskan EPL.

Dalam kenyataannya, EPL berkata ia meluluskannya itu selepas mendapat jaminan berdasarkan undang-undang bahawa kerajaan Arab Saudi tidak akan mengambil alih kepimpinan kelab itu.

Newcastle dimiliki konsortium yang disokong Public Investment Fund (PIF), yang menampung 80 peratus bayaran pembelian itu. Walaupun dipengerusikan Tengku Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman, PIF dianggap tiada kaitan dengan negara itu, kata EPL.

Perkembangan ini mengakhiri kepimpinan Mike Ashley selama 14 tahun sebagai pemilik kelab tersebut.

Semalam, penyokong Newcastle berhimpun di luar stadium St James' Park untuk meraikan berita itu. PIF dilaporkan memiliki aset bernilai £250 bilion, menjadikan Newcastle antara kelab terkaya di dunia.

Tokoh kewangan Amanda Staveley, yang mengetuai konsortium itu, berkata pemilik baru komited membuat pelaburan jangka panjang bagi memastikan Newcastle dapat bersaing secara berterusan untuk mememangi trofi utama.

Kali terakhir Newcastle memenangi trofik domestik utama ialah Piala FA pada 1955.

Dalam kenyataannya, EPL berkata: "Liga Perdana England, Kelab Bola Sepak Newcastle United dan St James Holdings Limited hari ini menghuraikan pertikaian proses ambil alih pemilikan kelab oleh konsortium yang dibentuk PIF, PCP Capital Partners dan RB Sports & Media.

"Pertikaian undang-undang berhubung entiti mana yang akan memiliki kelab atau mempunyai kuasa ke atas kelab selepas perjanjian ini telah dihuraikan.

"EPL pada masa ini telah menerima jaminan berdasarkan undang-undang Kerajaan Arab Saudi tidak akan mengawal NUFC."

Satu perjanjian dipersetujui pada April 2020 tetapi bakal pemilik mengundur diri selepas EPL menawarkan proses timbang tara bagi menghuraikan pertikaian mengenai pemilikan kelab itu.

Peranan kerajaan Arab Saudi dalam perjanjian ini ditentang beberapa pihak berkepentingan yang menganggap ia sebagai negara yang membenarkan perbuatan mencabul hak asasi manusia.

Namun, perkara ini tidak lagi menjadi isu kerana PIF dianggap sebagai entiti tiada kaitan dengan Arab Saudi.

Stavely, ketua eksekutif PCP Capital, akan menyertai lembaga Newcastle, sementara Yasir Al-Rumayyan, gabenor PIF, diberi peranan sebagai pengerusi bukan eksekutif.

Stavely memberitahu BBC PCP Capital memandang dengan amat serius rekod hak asasi manusia di Arab Saudi, tetapi menekankan rakan niaganya ialah PIF, bukan kerajaan Arab Saudi. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg