LONDON: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen, telah mencapai perjanjian awal untuk menyertai Manchester United secara pemindahan percuma.
Kontrak singkat pemain berusia 30 tahun itu telah berakhir di Brentford bulan lalu.
Sebelum ini ramai percaya Eriksen akan kembali ke pasukan pimpinan Thomas Frank itu, namun tarikan untuk menyarungi jersi United terbukti sukar sekali untuk ditolak.
Satu kontrak selama tiga tahun sedang disediakan untuk Eriksen, yang masih perlu menjalani pemeriksaan perubatan di Old Trafford.
Eriksen mungkin boleh menjadi pemain kedua yang dibawa masuk bos baru United, Erik ten Hag, semasa pemindahan musim panas kali ini.
Pemain baru yang dijangka menyarung jersi United musim kali ini adalah pemain pertahanan Feyenord, Tyrell Malacia, yang kini sedang jalani pemeriksaan kesihatan sebelum pemindahannya itu.
Eriksen kembali ke Liga Perdana England (EPL) apabila beliau sertai Brentford Januari lalu selepas dilepaskan kelab Serie A, Inter Milan.
Beliau terpaksa meninggalkan pasukan Italy itu selepas peranti pemula jantung (ICD) yang dipasang pada tubuhnya menyusuli serangan jantung yang dialami semasa pertandingan Euro 2020.
Para pemain yang mempunyai ICD tidak dibenar bermain dalam Serie A.
Adalah difahamkan peluang telah diberi kepada Eriksen untuk bermain dengan Brentford oleh pengurus pasukan itu, Thomas Frank, yang juga berasal dari Denmark, selain keluarganya yang selesa menetap di London membuatnya ingin terus bermain dalam EPL - sekali gus mendorongnya menyahut peluang menyertai The Red Devils.
United hanya menduduki tempat keenam semasa di bawah pimpinan Ralf Rangnick musim lalu, namun boleh menawarkan Eriksen kembali bermain dalam Liga Europa Uefa.
Kini bekas pengurus Ajax Amsterdam, Ten Hag, telah mengambil alih memimpin United.
Semasa bersama Brentford, Eriksen menonjolkan kemampuan dan persembahannya - membantu pasukan itu menduduki tangga ke-13.
Brentford menang tujuh daripada 11 perlawanan di mana Eriksen tampil memainkan peranan penting dalam pasukan tersebut.
Lantas Brentford dilaporkan berminat melanjutkan kontrak pemain tengah itu dengan kelab tersebut, namun bulan lalu Eriksen menyatakan bahawa beliau sedang menimbangkan tawaran daripada beberapa kelab lain.
Sebelum ini semasa bercakap menerusi Viaplay, Eriksen berkata:
"Saya mempunyai tawaran dan pilihan berbeza yang sedang saya pertimbangkan... dan kemudian saya akan buat keputusan.
"Saya ingin sekali bermain dalam Liga Juara-Juara sekali lagi.
"Saya tahu berapa seronoknya itu tapi ia tidak penting buat saya."
Eriksen pernah berlatih dengan pasukan kedua Ajax sebelum beliau sertai Brentford pada Januari lalu dalam usaha mengembalikan kecergasannya.
Beliau pernah bermain dengan Ajax antara 2010 dengan 2013. - Agensi berita.