Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK

Euro 2020 buka tirai tengah pandemik Covid-19

Siapa bakal jadi juara?
Jun 08, 2021 | 05:30 AM



Setelah setahun ditunda akibat pandemik Covid-19, arena persaingan kejohanan Euro 2020 dibuka mulai 12 Jun ini (waktu Singapura). Selama sebulan, seramai 24 pasukan negara akan berentap untuk menjulang kejuaraan musim panas itu. Perlawanan akan dianjurkan di 11 bandar di 11 negara serata Eropah. Siapa yang bakal muncul juara kali ini? ZULAIQAH ABDUL RAHIM (zulabr@sph.com.sg) menyenaraikan pasukan negara yang menjadi antara kegemaran untuk merangkul gelaran pasukan terbaik Eropah.




KEJOHANAN Eropah adalah pertandingan bola sepak antarabangsa besar pertama yang diadakan sejak wabak koronavirus melanda dunia dan ia tiba pada akhir musim kelab yang paling sibuk dalam sejarah.



Keletihan dan kecederaan pemain menjadi kebimbangan besar buat para pengurus.



Pasukan nasional juga kesuntukan masa untuk memperbaiki dan mengatur taktik semasa musim, dengan jadual perlawanan prapertandingan harus diubah pada saat-saat akhir, dek sekatan perjalanan di tengah-tengah pandemik dan ancaman bahaya virus.



Bagaimananpun, tirai persaingan Euro 2020 tetap akan dibuka pada 12 Jun ini, dengan 24 pasukan bertanding merebut kejuaraan trofi berprestij Eropah itu.



PERANCIS



Juara Piala Dunia 2018 Perancis menjadi sebutan sebagai pasukan kegemaran menjulang trofi itu.



Bekas pengurus Arsenal Arsene Wenger yakin Perancis adalah "pasukan yang paling digemari" untuk memenangi Euro 2020 atas beberapa sebab, termasuk kemunculan semula Karim Benzema.



Dengan penyerang Real Madrid itu kembali dalam skuad setelah hampir enam tahun, Les Bleus memiliki barisan serangan mengancam, dilengkapi dengan Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann.



Jurulatih Perancis Didier Deschamps juga memiliki pilihan pemain seperti Ousmane Dembele dan Kingsley Coman dari bangku simpanan, untuk mempertingkat serangan.



"Perancis akan menjadi pasukan yang paling digemari dalam pertandingan ini atas banyak, banyak sebab," kata Wenger, 71 tahun.



"Sebab utama, sudah tentu, adalah mereka baru sahaja memenangi Piala Dunia dalam cara yang mengagumkan di Russia.



"Perancis adalah pasukan muda. Mereka belum mencapai puncak persembahan. Oleh itu, saya yakin bahawa kami akan menjadi yang paling digemari.



"Yang lebih penting untuk juara dunia itu adalah mereka tiada sebarang masalah kecederaan yang besar memasuki pertandingan dan penyertaan Karim Benzema untuk kali pertama dalam lima tahun membuat Perancis lebih kuat dalam serangan."



Sekiranya Perancis berjaya menang, ia akan menandakan kali kedua mereka menjuarai kededua Kejohanan Eropah dan Piala secara serentak, dengan telah melakukannya pada 2000.



Les Blues ditempatkan dalam Kumpulan F bersama juara Piala Dunia 2014 Jerman; juara Euro 2016 Portugal; dan Hungary.



BELGIUM



Setelah mengisi puncak tangga ranking dunia Fifa selama dua tahun, Belgium akan merasa detik mereka untuk menang trofi kejuaraan besar buat kali pertama bakal tiba.



Pasukan yang dikenali sebagai Red Devils itu muncul tempat ketiga di Piala Dunia lalu pada 2018, dan pencapaian terbaik mereka dalam Kejuaraan Eropah adalah naib juara pada 1980.



Tidak dinafikan bahawa jurulatih Belgium Roberto Martinez mempunyai skuad yang paling berbakat dan ramai pemain berpengalaman berbanding pasukan bertanding lain.



Beliau akan bergantung pada gol hasil Romelu Lukaku, yang berada dalam prestasi baik.



Pemain berusia 28 tahun itu mencatat 30 gol dalam 44 penampilan buat juara liga Italy Serie A, Inter Milan, musim ini.



Pemain Real Madrid, Eden Hazard, juga merupakan tunggak kepada kejayaan Belgium, dengan harapan agar kapten pasukan itu dapat mengatasi masalah kecederaan yang mengganggunya dalam tempoh dua tahun ini dan beraksi cemerlang di Euro 2020.



Dalam Kumpulan B, Belgium akan berdepan Russia, Denmark dan Finland.



PORTUGAL



Juara Euro 2016 mengejutkan dunia bola sepak dengan memenangi trofi Kejohanan Eropah itu walaupun mereka tidak memiliki skuad yang kuat lima tahun lalu.



Kali ini, jurulatih Portugal Fernando Santos mempunyai ramai bintang dalam genggamannya.



Antara mereka ialah Bruno Fernandes, Bernardo Silva, Diogo Jota dan Joao Felix.



Tumpuan juga harus diberikan pada Pedro Goncalves, 22 tahun, yang akan membuat penampilan sulungnya untuk Portugal, setelah membantu Sporting Lisbon menjulang takhta liga Portugal pertama mereka sejak 2002.



Di usia 36 tahun, ini mungkin merupakan Kejohanan Eropah terakhir buat kapten pasukan Cristiano Ronaldo.



Penyerang Juventus itu namun tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti buat masa ini ketika jumlah 29 gol beliau dalam Serie A menggelarnya sebagai penjaring gol terbanyak liga musim ini.



Portugal akan menyasar mengutip mata maksimum dalam perlawanan pembukaan mereka menentang Hungary, sebelum bertemu Jerman dan Perancis dalam Kumpulan F yang juga dinamakan 'Group of Death'.



ENGLAND



Bolehkah England memenangi trofi antarabangsa besar untuk menambah kepada kemenangan tunggal Piala Dunia 1966 mereka?



Three Lions sering kali memasuki pertandingan besar dengan meletakkan jangkaan besar di bahu mereka, tetapi akhirnya gagal berhasil di tahap terhebat bola sepak.



Pasukan muda England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018, dan sejak itu anak buah Gareth Southgate bermain dengan keghairahan dan bertenaga.



Penyokong England sekali lagi berharap pasukan mereka dapat akhirnya menonjolkan potensi sebenar mereka.



Harry Kane mengakhiri musim sebagai penjaring gol terbanyak dalam Liga Perdana, dan beliau antara pemain yang disebut untuk menang anugerah But Emas Euro 2020.



Southgate juga memiliki bakat muda seperti Phil Foden, Mason Mount dan Jack Grealish dalam skuadnya.



England mempunyai lawan yang lebih lemah berbanding pencabar kejuaraan lain, menentang naib juara Piala Dunia 2018 Croatia; Scotland dan Republik Czech dalam Kumpulan D.





Infografik: KEJOHANAN UEFA EURO 2020




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >