Topik diikuti
Pergi ke BHkuEverton buat aduan insiden tidak diberi penalti
Everton buat aduan insiden tidak diberi penalti
LONDON: Everton akan menghubungi badan bertanggungjawab ke atas pegawai perlawanan di England, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), untuk mengajukan soalan mengenai satu insiden dalam perlawanan derby dengan Liverpool di mana ia tidak diberikan penalti.
Everton, yang tewas 0-2, tidak puas hati kerana keputusan pengadil pada hari itu tidak diteliti lebih lanjut.
Perlawanan masih terikat tanpa gol apabila pemain Everton, Anthony Gordon, dijatuhkan dalam petak penalti selepas beliau dicabar oleh pemain Liverpool, Joel Matip.
Lapan minit menyusuli insiden itu, Andy Robertson menjaringkan gol pembukaan bagi Liverpool, sebelum Divock Origi menggandakan jaringan di penghujung perlawanan.
Kekalahan itu menjerumus Everton ke zon relegasi, di mana ia boleh tersingkir dari Liga Perdana England (EPL), dengan musim berbaki enam perlawanan.
Buat masa ini, Everton, yang dipimpin Frank Lampard, berada dua mata di bawah Burnley, yang menduduki tangga ke-16. Namun, Everton mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Dalam wawancara selepas perlawanan itu, Lampard berkata beliau mendakwa penalti akan diberikan jika pemain yang jatuh itu adalah pemain Liverpool.
"Bagi saya, penalti harus diberikan (dalam insiden melibatkan Gordon), tapi ia tidak diberikan kepada pasukan lawan di Anfield," kata Lampard.
"Jika yang terjatuh Mohamed Salah dan berlaku di bahagian Kop, saya rasa pengadil akan berikan penalti. Pada saya, adalah jelas Anthony telah dikasari."
Difahami, Persatuan Bola Sepak (FA) England telah menulis kepada Lampard dan meminta beliau memberi keterangan berhubung komen yang dibuatnya terhadap pengadil, Stuart Attwell. - Agensi berita.