PARIS: Bendera Russia dan lagu kebangsaan negara itu kini dilarang oleh Formula Satu (F1), kata Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) kelmarin, memberi respons kepada tindakan Russia menyerang Ukraine.
Awal dari itu, FIA telah pun membatalkan Grand Prix Russia, yang dijadual pada 25 September.
Ia berkata pemandu profesional dari Russia dan Belarus hanya boleh bertanding di bawah bendera FIA dan jika tidak mewakili Russia.
Syarat baru ini akan dikuatkuasakan sehingga notis lanjut.
Buat masa ini, hanya Nikita Mazepin sahaja, yang mewakili pasukan Haas, berasal dari Russia dalam F1.
Minggu lalu, Haas, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, telah menggugurkan penjenamaan penaja utama Uralkali - dari Russia - semasa ujian pramusim di Barcelona.
Bapa Mazepin, Dmitry Mazepin adalah pengarah bukan eksekutif di Uralkali, syarikat yang menghasilkan bahan baja.
FIA berkata tiada lambang Russia atau Belarus, termasuk bendera, boleh diperagakan di F1.
Ia juga berkata anggota FIA dari Russia dan Belarus telah diberitahu supaya berundur buat sementara dari peranan masing-masing.
Tiada perlumbaan akan diadakan di Russia atau Belarus sehingga makluman lanjut.
FIA telah bertindak segera untuk membatalkan perlumbaan F1 di Sochi selepas beberapa pemandu berkata mereka tidak selesa berlumba di sana.
Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, berkata:
"Bagi diri saya sendiri, saya tidak akan pergi. Saya rasa adalah salah untuk berlumba di negara itu."