Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:30
Maghrib
7:15
Isyak
8:26

Fandi undur diri dari tugas di FAS untuk luang lebih masa dengan keluarga, teroka cabaran lain

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

Fandi undur diri dari tugas di FAS untuk luang lebih masa dengan keluarga, teroka cabaran lain

Jun 30, 2022 | 04:27 PM

SETELAH tujuh tahun menyumbang khidmat dan bakti dalam membangunkan bola sepak negara, legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, mengucapkan selamat tinggal kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Khamis (30 Jun).

Dalam satu kenyataan, FAS berkata Fandi, 60 tahun, telah mengundur diri daripada peranannya sebagai Ketua Elit Belia dalam badan pentadbir bola sepak negara itu selepas kontraknya tamat pada Khamis.

Pengunduran tersebut sama-sama dipersetujui FAS dan Fandi, selepas bintang Piala Malaysia itu menyuarakan hasrat untuk meluangkan masa bersama keluarganya, tambah FAS.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) untuk bertanyakan mengenai perancangan beliau seterusnya dalam bola sepak, Fandi berkata bahawa beliau kini menumpukan perhatiannya kepada isterinya, Wendy Jacobs, yang kurang sihat.

Fandi tidak mendedahkan penyakit yang dialami isterinya namun memberitahu BH bahawa keadaan Wendy kini stabil selepas keluar daripada wad rawatan separa rapi baru-baru ini.

“Saya akan berehat buat masa ini dan menjaga isteri saya terlebih dulu,” tambahnya.

Fandi, bapa kepada lima cahaya mata, dalam kenyataan FAS, juga berkata:

“Setelah mencecah usia 60 tahun baru-baru ini, saya fikir ia masa yang terbaik untuk saya menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan meneroka cabaran lain.

“Saya sangat bersyukur bahawa FAS menghormati keputusan saya. Saya akan meninggalkan organisasi ini dengan berat hati kerana saya telah memiliki banyak kenangan manis dan menjalin persahabatan bersama ramai rakan kerja di sini.”

Perjalanan Fandi bersama FAS bermula apabila beliau dilantik ketua jurulatih pasukan LionsXII, yang dianggotai kebanyakan pemain nasional yang beraksi dalam Liga Super Malaysia, pada musim 2014.

Beliau kemudian memimpin pasukan itu menjuarai liga pada musim selanjutnya. Selepas LionsXII dibubarkan, Fandi kekal di FAS sebagai Kakitangan Jurulatih sehingga beliau dilantik sebagai Ketua Jurulatih (Belia) pada 2016.

Beliau kemudiannya mengambil alih pasukan Singa Muda pada awal 2018.

Pada Mei tahun itu, beliau dilantik sebagai Ketua Jurulatih Sementara pasukan nasional lelaki, termasuk membimbing mereka dalam kejohanan Piala AFF Suzuki.

Selain itu, Fandi turut memainkan peranan penting dalam membangunkan dan mengenal pasti bakat muda di sini, dengan memberikan mereka peluang mewakili skuad nasional bawah 22 tahun dan senior Singa.

Antaranya ialah Jacob Mahler, Naqiuddin Eunos, Nur Adam Abdullah, Saifullah Akbar dan Zulqarnaen Suzliman.

Barisan pemain ini juga adalah sebahagian skuad bawah 22 tahun kendalian Fandi yang meraih pencapaian terbaik negara di kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia pada 2019.

Singapura berjaya memungut lima mata untuk menduduki tangga kedua dalam kumpulan mereka, yang turut dianggotai Korea Utara, Hong Kong dan Mongolia.

Fandi terus menghasilkan kecemerlangan apabila skuad sama di bawah bimbangannya menjuarai Piala Merlion pada tahun itu.

Dalam tugas terakhirnya bergelar jurulatih, beliau menghuni ‘kerusi panas’ pasukan bawah 22 tahun negara yang bertanding dalam Sukan SEA 2019 di Manila.

Sejak awal 2020, beliau berkhidmat sebagai Ketua Elit Belia sebagai sebahagian pelanjutan kontraknya bersama FAS.

Dua minggu lalu, satu kejohanan bola sepak jalanan empat sepasuk bagi kanak-kanak, Fandi Rules, dianjurkan beliau.

Pertandingan buat julung kalinya itu adalah anjuran bersama FAS dan Singapore Pools, serta disokong Persatuan Rakyat (PA), dan diadakan sebagai usaha projek bola sepak kebangsaan, Unleash the Roar!

Sebelumnya, Fandi juga melancarkan buku biografinya bertajuk Fandi: Honour & Sacrifice, sempena hari jadinya yang ke-60 tahun baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAS, Yazeen Buhari, merakamkan ucapan terima kasih “yang tidak terhingga” kepada Fandi atas sumbangan dan khidmat baktinya kepada badan pentadbir bola sepak negara itu selama tujuh tahun ini.

“Saya bertuah dapat bekerjasama dengan nya dan melihat secara langsung bagaimana beliau memberi inspirasi dan mendorong rakan kerja dan pemain di bawah bimbingannya.

“Kami sangat berterima kasih atas usaha gigihnya dan saya yakin Fandi akan terus terlibat dalam bola sepak kita dalam pelbagai cara lain selepas rehat yang sewajarnya ini.”

Fandi ialah bapa kepada tiga pemain nasional Singapura – Irfan, Ikhsan dan Ilhan.

Irfan, 24 tahun, dan Ikhsan, 23 tahun, kini beraksi untuk kelab Thailand, BG Pathum United, dalam Liga 1 Thai, manakala adik mereka, Ilhan, 19 tahun, menyarung jersi kelab Liga Perdana Singapura, Albirex Niigata.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3