MESKIPUN Singapura kalah teruk 1-4 kepada Malaysia pada Januari, sekali gus tersingkir dari Piala AFF 2022, pemain penyerang Faris Ramli berkata perlawanan itu tetap penting dan adalah saat mercu tanda dalam kerjayanya.
Beliau akur pasukan nasional telah beraksi di bawah jangkaan dalam perlawanan itu, tetapi gol tunggal sagu hati bagi pasukan yang dijaringkannya dalam perlawanan di Stadium Bukit Jalil begitu bermakna bagi dirinya.
Selepas mengharungi musim 2022 yang mengecewakan bersama Lion City Sailors, di mana beliau turut dihimpit kecederaan, gol itu telah menyuntik kembali keyakinan dalam dirinya.
Sebulan selepas mewakili negara menentang Malaysia, Faris menyahut cabaran baru dalam liga domestik pula, selepas mengikat kontrak dengan kelab Tampines Rovers.
Sejak itu, Faris, 30 tahun, bak menemui semula ketangkasannya di padang dan di depan gawang dengan menyumbatkan empat gol dalam lima perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) musim ini.
Beliau juga sedang mendahului perlumbaan bagi memenangi But Emas yang diberikan kepada penjaring gol terbanyak dalam liga di akhir musim.
Dua pesaing terdekat ialah rakan sepasukan Boris Kopitovic dan pemain midfield Balestier, Ryoya Tanaguchi.
Bercakap dengan Berita Harian (BH) dari Hong Kong, menjelang perlawanan persahabatan dengan pasukan tuan rumah pada Khamis, Faris berkata tahun 2022 memang amat mencabar bagi dirinya.
"Selepas kami mengakhiri Piala AFF di Kuala Lumpur, saya terfikir untuk menetapkan matlamat baru. Saya rasa ia bermula dengan gol saya semasa menentang Malaysia - ia adalah sesuatu yang positif yang membangkitkan semangat saya," kata Faris, yang telah menyarungi jersi Singa sebanyak 73 kali sejauh ini.
"Saya bergelut untuk mengatasi kecederaan pada musim 2022. Dengan kurang waktu permainan di atas padang, keyakinan saya juga terjejas.
"Bukan mudah untuk naikkan (keyakinan diri) semula tetapi saya sedang cuba untuk memperbaiki diri... 2023 adalah musim baru, tahun baru. Jadi, saya harap ia juga adalah diri saya yang baru."
Menurut Faris, Pemain Terbaik SPL 2019, keyakinan diri yang bertambah itu juga diperkukuh oleh jurulatih Tampines, Gavin Lee, serta rakan sepasukannya yang memberinya dorongan.
"Mereka ingin saya beraksi dengan berani dan tidak gentar menunjukkan keupayaan saya di padang.
"Bagi saya, perkara ini penting kerana setiap pemain mahukan jurulatih dan pasukan yang yakin terhadap kebolehannya," ujar Faris
"Alhamdulillah, saya rasa saya telah dapat memperolehi keyakinan mereka dengan persembahan saya sejauh ini. Mudah-mudahan, saya dapat meneruskan prestasi ini dalam pasukan nasional."
Faris antara segelintir pemain mapan yang disertakan dalam skuad Singapura 21 pemain oleh jurulatih nasional, Takayuki Nishigaya, kali ini.
Kapten, Hariss Harun dan pemain pertahanan Irfan Fandi tidak menyertai skuad, sementara Shahdan Sulaiman, Song Ui-young, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi semuanya cedera.
Selepas menentang Hong Kong, Singapura akan berentap dengan Macau pula pada 26 Mac.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg