Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaris Ramli kembali cergas, intai tiket ke Piala Asia
Kembali beraksi untuk skuad Singa hadapi edisi sulung Piala Asean Fifa pada Sep
Faris Ramli kembali cergas, intai tiket ke Piala Asia
Dalam usaha persediaan sempena Piala Asia 2027, jurulatih Lions, Gavin Lee, memilih pemain berusia lingkungan 20-an tahun untuk mengisi posisi serangan.
Farhan Zulkifli, 23 tahun, dan Glenn Kweh, 26 tahun, berkongsi tugas di bahagian sayap, manakala Harhys Stewart, 25 tahun, turut digunakan dalam peranan lebih menyerang.
Selepas kembali daripada tempoh rehat panjang akibat kecederaan, penyerang Tampines Rovers berusia 34 tahun, Faris Ramli, pula bertekad membuktikan usia bukan penghalang untuk terus menyerlah.
Beliau mahu merebut tempat dalam skuad yang bakal berlepas ke Arab Saudi bagi kejohanan bola sepak terbesar benua Asia, yang berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari.
Pemain sayap lincah itu mula mencuri tumpuan dalam Liga Perdana Singapura (SPL) sejak kembali cergas sepenuhnya musim ini, dengan menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan liga serta satu gol dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Pada 1 November, beliau berhasrat menambah koleksi golnya sambil membantu pasukan memintas pendahulu liga, Geylang International, dalam pertembungan antara dua pasukan teratas liga.
Menegaskan bahawa dirinya kini sudah kembali sihat sepenuhnya, Faris memberitahu The Straits Times (ST):
“Persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan adalah sesuatu yang baik dan saya sangat gembira melihat mereka semua beraksi serta turut memberikan kesan kepada pasukan.
“Bukan mudah untuk berada di luar padang (tidak dipilih bermain), namun saya mahu pemain-pemain ini berjaya dan saya bangga melihat pencapaian mereka.
“Pada masa sama, keadaan itu menjadi semangat untuk saya kembali lebih kuat dan berjuang merebut tempat dalam pasukan. Ketika saya masih muda dan mula menembusi skuad utama, saya perlu bersaing dengan pemain lebih senior.
“Anda hanya boleh mengawal perkara yang berada dalam kawalan anda. Jadi, saya mahu mendapatkan sebanyak mungkin masa permainan bersama Tampines, menjaringkan gol dan berharap dapat peluang untuk berada dalam skuad Singa bagi menghadapi Piala Asia.”
Faris, yang telah membuat 93 penampilan antarabangsa, dipanggil semula menyertai skuad Singapura bagi menghadapi edisi sulung Piala Asean Fifa pada September lalu selepas sekian lama tidak beraksi bersama pasukan kebangsaan.
Kali terakhir beliau dipanggil menyertai skuad kebangsaan ialah pada November 2025, namun beliau tidak bermain ketika Singapura mencatat kemenangan bersejarah 2-1 ke atas Hong Kong, sekali gus mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027.
Pemain berpengalaman itu mengalami beberapa siri kecederaan pangkal paha, lutut dan hamstring sejak beberapa musim kebelakangan ini.
Kecederaan tersebut memaksanya berehat buat tempoh panjang sehingga terlepas perlawanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kecederaan terbarunya berlaku ketika perlawanan akhir Piala Singapura menentang Lion City Sailors pada Januari lalu, apabila beliau mengalami kekoyakan separa pada ligamen krusiat anterior (ACL) lutut kanan.
Kecederaan itu menamatkan musim 2025-2026 beliau lebih awal.
Walaupun berdepan pelbagai kecederaan, Faris tidak pernah terfikir untuk berhenti atau mengalah.
“Saya perlu kuat dari segi mental, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk berhenti bermain bola sepak.
“Sebaliknya, saya sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang sebab saya mula bermain sukan ini sejak awal. Peminat, keluarga dan anak-anak sayalah yang terus memberikan semangat untuk saya berusaha,” kata bapa kepada tiga anak lelaki berusia lapan, empat dan dua tahun itu.
Jurulatih Tampines, Nazri Nasir, berkata kepulangan Faris ke padang amat penting buat pasukan.
“Beliau membawa pengalaman, mutu permainan dan kepimpinan kepada pasukan. Kehadirannya merupakan satu suntikan semangat yang besar buat skuad ini,” kata Nazri.
“
“Saya perlu kuat dari segi mental, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk berhenti bermain bola sepak. Sebaliknya, saya sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang sebab saya mula bermain sukan ini sejak awal. Peminat, keluarga dan anak-anak sayalah yang terus memberikan semangat untuk saya berusaha.”