PERSATUAN Bola Sepak Singapura (FAS) dijangka melantik Michael Browne sebagai pengarah teknikal barunya - lebih tujuh bulan selepas Joseph Palatsides melepaskan jawatan itu.
Akhbar The Straits Times (ST) difahamkan bahawa beliau akan diberi kontrak selama dua tahun.
Browne dipilih daripada senarai lima calon termasuk warga Belgium, Jerman dan Wales, serta bekas pemain antarabangsa Malaysia, Lim Teong Kim.
Lim pernah membantu membangunkan pemain seperti Thomas Muller, ketika bertugas sebagai jurulatih pasukan remaja Bayern Munich dari 2000 hingga 2013, sebelum beliau mengambil alih pasukan bawah 17 tahun Malaysia.
Browne, 63 tahun, merupakan pemegang Lesen Uefa Pro dan mempunyai pengalaman bekerja sebagai pengarah teknikal di Asia.
Pelantikan terakhir beliau adalah apabila beliau bersama kelab Liga I India, Punjab FC, dari Mac 2019 hingga Julai 2020.
Sebelum itu, Browne, yang berasal dari England, menerajui jawatan pengarah teknikal Bola Sepak Australia Utara New South Wales dari Julai 2014.
Bekas pengarah akademi Charlton Athletic itu juga pernah menghabiskan masa selama 10 tahun di Timur Tengah sebagai ketua pencungkil bakat pasukan nasional Qatar.
Beliau juga merupakan ketua jurulatih bola sepak Akademi Aspire.
Palatsides, yang berasal dari Australia, meletakkan jawatan sebagai pengarah teknikal untuk pulang ke negara asalnya pada November lalu, sambil memberi sebab keluarga dan kesihatan.
Namun kurang daripada 24 jam selepas FAS mengumumkan pengunduran beliau, Palatsides diumumkan sebagai ketua baru kejurulatihan akademi untuk kelab Liga-A, Melbourne Victory.
Philippe Aw telah dilantik sebagai pengarah teknikal sementara sejak itu.
Presiden FAS, Lim Kia Tong, tidak memberikan garis masa untuk melantik pengganti tetap.
Bagaimanapun selepas peletakan jawatan Palatsides yang mendadak, beliau menegaskan bahawa akan ada "tahap kewaspadaan yang lebih tinggi" dalam mencari calon yang sesuai untuk membangunkan bola sepak Singapura bersama projek Unleash the Roar yang menjadi sebahagian matlamat FAS melayakkan pasukan nasional ke Piala Dunia Fifa 2034.
Lim menambah: "Saya ingin memberi jaminan kepada fraterniti bola sepak di sini bahawa kegenjotan ini tidak akan menghalang kerja yang telah Joe (Palatsides) mulakan dan telah lakukan.
"Kita perlu teruskan meskipun terdapat perubahan dalam kakitangan."
Satu panel pemilihan, termasuk Lim, setiausaha agung FAS, Yazeen Buhari, dan ahli majlis persatuan itu dan pengerusi jawatankuasa pengadil, Lim Tong Hai, kemudiannya ditubuhkan untuk mempertimbangkan pilihan dari serata dunia, sebelum mereka membuat keputusan untuk melantik Browne.