Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FAS: Kelab SPL hanya perlu turunkan seorang pemain bawah 23 tahun

Sep 26, 2021 | 5:30 AM
0fe59390-293e-43a5-aa27-bf0515ec25fc
-

KELAB bola sepak di sini hanya perlu menurunkan hanya satu pemain di bawah usia 23 tahun bagi separuh masa pertama perlawanan berbanding tiga sebelum ini bagi musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2022.

Namun tiada had akan dikenakan bagi bilangan pemain di bawah usia 23 tahun dalam skuad kelab masing-masing.

Ini merupakan antara langkah baru yang diumumkan semasa Kongres Tahunan ke-29 Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), semalam.

Presiden FAS, Encik Lim Kia Tong, dalam ucapannya semasa kongres yang dijalankan dalam talian berkata pihaknya akur dengan maklum balas yang diterima oleh frateniti bola sepak setempat dalam menangani cabaran yang dihadapi akibat pandemik.

Beliau berkata semakan terhadap peraturan pertandingan SPL akan memberi jurulatih lebih banyak kelonggaran untuk memilih pemain dan meningkatkan peluang pemain muda untuk bermain lebih lama.

"Ini akan membolehkan pemain menunjukkan kemampuan mereka dalam liga dan dipilih bagi Pasukan Nasional," ujarnya.

FAS juga akan memperkenalkan satu dasar baru yang akan memberi insentif kepada kelab untuk meneruskan keutamaan dan melabur dalam pembangunan pemain belia.

Di bawah skim baru, kelab akan terima ganjaran berbentuk wang bagi pembangunan pemain belia di peringkat kelab dan menerima lebih banyak insentif bagi setiap pemain di bawah usia 23 tahun yang dipanggil bermain bagi Pasukan Nasional.

Usaha pembangunan belia yang kekal menjadi tumpuan utama FAS akan digabungkan menerusi liga belia khusus.

Bergantung pada keadaan, liga dijangka akan disambung semula tahun depan, selepas digantung sejak 2020.

"Liga-liga belia elit akan menyediakan platform bagi menambah peluang bermain dan laluan pembangunan berterusan bagi perkembangan pemain muda ke arah kerjaya dalam bola sepak profesional," kata Encik Lim.

Beliau turut berkongsi antara tarikan utama sepanjang Tahun Kewangan lalu, dan ini termasuk menyambung semula sukan dengan selamat di tengah-tengah pandemik.

Semasa Kongres itu semalam Badan Kehakiman, termasuk Jawatankuasa Disiplin, Etik dan Rayuan, Jawatankuasa Audit dan Pematuhan, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya turut dilantik.

Penggal bagi setiap jawatankuasa adalah selama empat tahun, berakhir pada 2025.

Dua kelab juga diberikan kedudukan Keahlian Biasa selepas menerima kelulusan daripada Kongres FAS.

Kelab Bola Sepak Geylang Serai dan Kelab Bola Sepak Woodlands Lion akan diberi kesemua hak Keahlian Biasa yang ditetapkan dalam Perlembagaan FAS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg