PERSATUAN Bola Sepak Singapura (FAS) sedang bekerjasama dengan badan Fifa untuk membentuk program ‘subvention’ atau menyediakan geran untuk kelab-kelab amatur setempat, yang bernilai sekitar $500,000 mulai 2021.
Ini merupakan sebahagian komitmen berterusan FAS untuk mempertingkatkan pelesenan kelab bagi kelab-kelab amatur di sini.
Usaha ini diumumkan presiden FAS Lim Kia Tong pada Sabtu (26 September) di Kongres FAS yang ke-38, yang diadakan buat pertama kalinya secara maya.
Kongres tahunan tersebut turut dihadiri ahli gabungan, pihak berkepentingan dan rakan kongsi badan pentadbir bola sepak negara itu.
Selain itu, Encik Lim turut mengumumkan bahawa sebuah jawatankuasa berasingan dan khusus, Projek Sekretariat Goal 2034, bakal ditubuhkan FAS untuk memacu usaha mencapai cita-cita tinggi pasukan bola sepak Singapura untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2034, yang dinamakan Goal 2034.
Dalam ucapannya pagi ini, Encik Lim mendedahkan butiran mengenai koloborasi antara FAS dengan Fifa itu.
“Dalam bahagian penyertaan akar umbi, belia dan masyarakat, serta membina keupayaan dalam kalangan pegawai dan pentadbir kelab, FAS sedang bekerjasama dengan FAS untuk membentuk program ‘subvention’ bagi semua kelab amatur dengan jumlah sekitar $500,000 sepanjang tempoh dua tahun, mulai 2021.” katanya.
Inisiatif itu akan memastikan pentadbiran dan struktur organisasi yang lebih kukuh, pengurusan kewangan yang stabil serta memperbaiki proses pentadbiran kelab-kelab amatur.
Kelab daripada liga amatur seperti Liga Bola Sepak Singapura, Liga Perdana Wanita, Liga Nasional Wanita dan Kelab Seluruh Pulau (Island Wide) akan layak memanfaat program ini, dengan insentif akan diperuntukkan sekiranya mencapai mata kriteria yang berbagai.
Encik Lim menambah butiran lanjut mengenai skim itu akan ditetapkan dalam beberapa bulan mendatang.