Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Federer, Djokovic puji rekod Nadal

Feb 1, 2022 | 5:30 AM
REKOD MEMBANGGAKAN: Rafael Nadal bersama trofi Terbuka Australia dimenangi di Melbourne. - Foto AFP
REKOD MEMBANGGAKAN: Rafael Nadal bersama trofi Terbuka Australia dimenangi di Melbourne. - Foto AFP -

PARIS: Pencapaian Rafael Nadal untuk memenangi kejuaraan Grand Slam ke-21 di Terbuka Australia kelmarin - satu rekod - telah dipuji pesaing terdekatnya Roger Federer dan Novak Djokovic.

Sebelum kejohanan tersebut, Federer, Djokovic dan Nadal masing-masing telah memenangi 20 kejuaraan Grand Slam.

Nadal, 35 tahun, bangkit dan berjuang balik selepas ketinggalan dua set untuk menewaskan pemain tenis Russia Daniil Medvedev 2-6, 6-7 (5/7), 6-4, 6-4, 6-4, dalam perlawanan meresap tenaga yang berlangsung selama 5 jam 24 minit di Melbourne.

Kemenangan di Grand Slam pertama 2022 itu adalah lambang semangat juang Nadal, yang terpaksa mengubah permainannya selepas beliau mengalami masalah tulang di kaki kiri yang memaksanya mengundur diri dari beberapa kejohanan sejak Ogos tahun lalu.

Federer, yang sebelum ini hampir memenangi 21 kejuaraan Grand Slam di Wimbledon 2019, tetapi tewas kepada Djokovic di final, berkata beliau kagum dengan pencapaian Nadal.

Pemain dari Switzerland itu tidak menyertai Terbuka Australia kerana masih beransur pulih dari pembedahan lutut.

"Kepada rakan dan pesaing hebat saya, tahniah sebanyak-banyaknya kepada anda kerana menjadi lelaki pertama memenangi 21 kejuaraan Grand Slam perseorangan," kata Federer, 40 tahun.

"Hanya beberapa bulan lalu, kami sedang bergurau kerana masih menggunakan topang. Tapi jangan sesekali menganggap remeh semangat juang seorang juara.

"Etika untuk berusaha gigih yang ditunjukkan anda, komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan adalah satu inspirasi bagi saya dan ramai lagi di serata dunia."

Djokovic, yang harapannya untuk menjadi lelaki pertama memenangi 21 Grand Slam musnah selepas beliau dihantar pulang dari Australia berhubung isu vaksinasi juga memberikan ucapan tahniah kepada Nadal.

Djokovic, 34 tahun memberi ucapan tahniah di Twitter, menyusuli ucapan tahniah kepada juara wanita Terbuka Australia Ashleigh Barty pada Sabtu lalu.

"Satu pencapaian yang hebat. Saya selalu kagum dengan semangat juang yang ditunjukkan anda dan tekad itu membuat anda berjaya sekali lagi," kata Djokovic.

"Enhorabuena (Tahniah)!"

Bercakap kepada media selepas perlawanan itu, Nadal, yang berasal dari Sepanyol, berkata seluruh tenaganya telah hilang selepas kemenangan yang tidak disangka itu.

Beliau akur, bimbang kerjayanya telah berakhir selepas mengalami kecederaan kaki.

"Jika anda melihat pencapaian ini dari sudut itu, ia adalah usaha terbesar saya untuk bangkit sepanjang kerjaya tenis ini," kata Nadal.

Terbuka Australia ini adalah acara kompetitif kedua yang disertai Nadal selepas beliau tidak dapat beraksi hampir sepanjang 2021.

Kecederaan di kaki kiri beliau itu memaksa beliau tidak beraksi selama hampir tujuh bulan dan bersama jangkitan Covid-19 yang dialaminya pada Disember lalu, beliau hanya beraksi dalam satu kejohanan sepanjang tahun lalu.

"Sejak enam bulan lalu, saya telah berusaha begitu gigih untuk kembali ke gelanggang tenis," kata Nadal.

"Saat-saat itu adalah yang paling mencabar bagi saya dan saya telah menyertai beberapa perbincangan yang sukar, mengenai masa depan saya, kerjaya saya.

"Saya tahu, kemenangan ke-21 ini adalah istimewa... saya berasa bertuah kerana mencapai perkara itu. Tapi saya tidak begitu peduli jika saya dianggap yang terbaik dalam sejarah atau tidak. Itu bukan yang utama dalam minda saya," kata Nadal. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg