LONDON: Chelsea dan Liverpool berentap di Wembley pada tengah malam nanti untuk merangkul Piala Carabao dengan masing-masing ghairah merebut peluang terbaik memenangi trofi domestik musim ini.
Chelsea, juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah - dan juga baru sahaja ditabalkan sebagai juara Piala Kelab Dunia awal bulan ini - bertekad menambah koleksi trofi di bawah kepimpinan Thomas Tuchel.
Jika menang, ini adalah trofi domestik pertama Tuchel dan yang ketiga dimenangi Chelsea di bawah kepimpinannya dalam tempoh sekitar setahun di kelab itu.
Chelsea juga masih berpeluang memenangi satu lagi trofi domestik, iaitu Piala FA, di mana ia dijadual bertemu dengan Luton Town pada Khamis nanti.
Namun, harapannya untuk menjulang trofi Liga Perdana England (EPL) adalah tipis, kerana ia kini ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.
Dari segi itu, Jurgen Klopp dan Liverpool berada di kedudukan lebih baik.
Liverpool masih bersaing bagi trofi dalam empat pertandingan, termasuk Liga Juara-Juara dan juga dalam EPL, di mana ia ketinggalan enam mata di belakang City, dengan satu perlawanan dalam tangan dan pertemuan dengan City dijadual pada April nanti.
Ia juga masih bernyawa dalam Piala FA dan Piala Carabao, yang dikenali sebagai Piala Liga pada satu masa dahulu, adalah trofi pertama yang harus dimenangi bagi melengkapkan koleksi ini.`
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg