LANCASHIRE (Britain): Fleetwood Town melakar antara kejutan terbesar dalam sejarah Piala Carabao apabila menyingkirkan juara Liga Perdana England (EPL), Arsenal, menerusi babak penentuan penalti yang dramatik untuk mara ke peringkat suku akhir.

Skuad kendalian Mikel Arteta tersentak seawal minit ke-21 apabila penyerang Fleetwood, Aaron Loupalo-Bi, meletakkan tuan rumah – pasukan yang berada 84 anak tangga di bawah Arsenal dalam kedudukan bola sepak England – di hadapan secara mengejut.

Penyerang The Gunners, Viktor Gyokeres, menyamakan kedudukan 1-1 buat pasukan pelawat sejurus separuh masa kedua bermula, namun ketumpulan barisan serangan Arsenal menyaksikan mereka gagal mengesahkan kemenangan dalam 90 minit perlawanan.

Malang menimpa Arsenal apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-86 menyusuli tindakan bintang muda, Max Dowman, yang dibuang padang selepas membalas kekasaran Harrison Neal.

Penjaga gol Fleetwood, Jay Lynch, mempamerkan aksi cemerlang dengan dua aksi menyelamatkan gol pada saat-saat akhir bagi menafikan percubaan Ben White dan Martin Odegaard, sekali gus mengheret perlawanan ke babak penentuan sepakan penalti.

Wira Fleetwood itu meneruskan aksi luar biasa apabila berjaya menafikan percubaan Bruno Guimaraes, sebelum Conor Haughey mencetuskan sorakan gemuruh di Stadium Highbury – bekas padang Arsenal yang kini menjadi padang sendiri Fleetwood – dengan menyempurnakan sepakan penalti kemenangan 5-3.

Sorakan kegembiraan menyelubungi stadium apabila para penyokong mula membanjiri padang, manakala pemain terbawa-bawa emosi ketika sesi temu bual selepas perlawanan dengan pengurus, Matt Lawlor, menitiskan air mata dalam meraikan pencapaian penuh bermakna itu.

Fleetwood kini menanti lawan mereka di pusingan suku akhir menerusi undian yang akan berlangsung sebaik selesai perlawanan antara Chelsea dengan Liverpool pada 28 Oktober.

Perlawanan pada 27 Oktober baru sahaja berlangsung selama dua minit apabila pengadil, Michael Salisbury, bertindak menghentikan aksi selepas mengesan sebuah dron di ruang udara Stadium Highbury.

Perlawanan bersambung lapan minit kemudian – selepas para pemain diarahkan meninggalkan padang seketika – dan Arsenal tersentak apabila Loupalo-Bi melepasi Marli Salmon sebelum menewaskan penjaga gol, Illan Meslier, yang diturunkan, menggantikan penjaga gawang nombor satu kelab, David Raya.

Meskipun cekap menguasai bola dan mencipta peluang, skuad kendalian Arteta tetap ketinggalan pada separuh masa pertama, menyebabkan penyokong tuan rumah tersenyum puas melihat prestasi pasukan mereka.

Namun kegembiraan penyokong Fleetwood tidak berpanjangan apabila Gyokeres menyelinap dalam situasi kelam-kabut di kotak penalti untuk menjaringkan gol penyamaan seawal empat minit selepas separuh masa kedua dimulakan.

Kemasukan kapten Arsenal, Odegaard, pada separuh masa kedua berjaya menyuntik rentak permainan lebih agresif.

Namun, ketiadaan sentuhan penyudah berbisa menyaksikan The Gunners hanya meraih satu gol meskipun telah melakukan 26 percubaan dan 59 sentuhan di dalam kotak penalti Fleetwood.

Nasib Arsenal bertambah malang apabila pemain berusia 16 tahun, Dowman, dilayangkan kad merah susulan tindakannya membalas kekasaran Neal, sebelum menerima teguran oleh Arteta ketika berjalan menuju ke bilik persalinan.

Meslier, yang membuat penampilan sulungnya di gawang Arsenal, gagal menepis sepakan penalti pemain Fleetwood, manakala sepakan lemah Guimaraes akhirnya mengesahkan kekalahan Arsenal.

Dalam berdepan dengan Fleetwood yang sedang bergelut di tangga ke-18 divisyen keempat bola sepak England, Arteta melakukan sembilan pertukaran daripada skuad yang menewaskan Everton pada 24 Oktober lalu – dengan memilih gabungan bakat muda dan pemain simpanan EPL.

Pemain pertahanan berusia 17 tahun, Salmon – yang baru membuat penampilan senior keduanya bersama Arsenal – dilihat kurang kekuatan fizikal untuk mengekang asakan Loupalo-Bi sebelum pemain pinjaman Fulham itu melepaskan percubaan bola yang mengatasi Meslier.

Salmon akhirnya dikeluarkan pada waktu rehat.

Sementara itu, benteng pertahanan Fleetwood bertarung habis-habisan bagi menyekat kemaraan Arsenal, dengan Rhys Bennett, Conor Haughey dan Shaun Rooney masing-masing sanggup merebahkan badan bagi menafikan setiap rembatan tatkala diasak tanpa henti oleh The Gunners. 

Akhirnya, semangat juang Fleetwood membuahkan hasil. 

Ronan Coughlan, Neal, Will Davies, Andy Cannon dan Haughey masing-masing menyudahkan sepakan penalti dengan penuh yakin menewaskan Meslier, sekali gus mempamerkan keberanian luar biasa yang jelas berbeza berbanding persembahan Arsenal yang secara keseluruhannya kelihatan hambar. – Agensi berita.