Topic followed successfully
Go to BHkuFrank Lampard setuju jadi pengurus sementara Chelsea
Frank Lampard setuju jadi pengurus sementara Chelsea
Frank Lampard setuju jadi pengurus sementara Chelsea

LONDON: Frank Lampard telah bersetuju untuk mengambil alih selaku pengurus sementara Chelsea, menurut laporan akhbar The Times sedang pemilik kelab tersebut Todd Boehly dan Behdad Eghbali terus mencari calon paling sesuai menggantikan Graham Potter.
Potter dipecat pada Ahad selepas keputusan kurang memberangsangkan menyaksikan pasukan itu kini di kedudukan ke-11 dalam Liga Perdana England.
Bruno Saltor yang merupakan sebahagian daripada pasukan kejurulatihan di bawah Potter, mengambil alih selaku pengurus semasa Chelsea seri 0-0 dengan Liverpool.
Lampard yang merupakan pengurus Everton sehingga Januari, akan kembali ke stadium yang begitu biasa dengannya di Stamford Bridge, di mana beliau amat disayangi para peminat Chelsea semasa menjadi pemain midfield dengan pasukan itu selama 13 tahun.
Beliau kemudian menjadi pengurus Chelsea pada musim 2019 hingga 2021.
Lampard, 44 tahun yang merupakan penjaring terbanyak Chelsea dengan 211 gol, telah dipecat pada Januari 2021 selepas menjadi pengurus pasukan itu dalam 84 perlawanan.
Bekas pemain antarabangsa England itu akan menggalas tanggungjawab di Chelsea dalam baki perlawanan pasukan tersebut.
Melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim akan datang dianggap agak mustahil buat Chelsea yang kurang 14 mata di belakang empat pasukan teratas EPL.
Dan ia menjadi lebih sukar dengan hanya baki sembilan perlawanan EPL yang tinggal.
Meskipun begitu peluang untuk mereka menjuarai Liga Juara-Juara musim ini masih cerah, dengan perlawanan suku akhir menentang Real Madrid dijadualkan dalam bulan ini. - Agensi berita.

