Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN ASIA INDONESIA 2018

Gadis 'pemalu' ada potensi jadi 'Srikandi Emas' silat S'pura

Feb 11, 2018 | 05:30 AM



NURZUHAIRAH Mohammad Yazid sama sekali tidak menyangka beliau akan menjadi seorang pesilat, apalagi menyarung jersi negara atau memenangi pingat emas atau bertanding dalam temasya besar baik Sukan SEA, Sukan Asia mahupun kejohanan antarabangsa di Eropah.



Gadis berusia 20 tahun yang baru menamatkan pengajian dalam bidang perkhidmatan perniagaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central itu mendedahkan bahawa beliau asalnya seorang yang pemalu, pendiam dan suka bersendirian.



Di sekolah pula, beliau tidak suka kegiatan lasak dan menyertai kokurikulum lebih lembut - tidak seperti silat - iaitu tarian Melayu.



Namun, itu semua berubah apabila Nurzuhairah, anak sulung dalam keluarga tiga beradik, disuruh ibunya, Cik Norah Masaod, menyertai silat.



Tujuannya supaya beliau mengubah sikap menjadi gadis berpendirian lebih terbuka dan suka bergaul dengan orang lain.



Kata orang benar kata ibu. Ternyata nasihat Cik Norah membuahkan hasil.



Nurzuhairah, yang bercadang melanjutkan pelajaran di Politeknik Republic dalam bidang Riadah Sukan (Sports Leisure) tahun ini kini bukan sahaja mudah lebih periang dan peramah, malah gemar bersukan dan pernah menyertai pasukan bola sepak ketika berada di sekolah menengah dahulu.



Lebih dari itu, beliau kini berjaya melakukan sesuatu yang tidak dapat dicapai semua orang iaitu mewakili negara dan boleh berbangga menyertai sekumpulan pesilat elit yang meraih pingat emas dalam Sukan SEA.



Kemajuan yang dipamerkannya sehingga mampu memenangi salah satu daripada dua pingat emas negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur pada tahun lalu memberi bayangan bahawa beliau bakal muncul sebagai "Srikandi Emas" baru negara.



Kali terakhir pesilat wanita Singapura memenangi pingat emas Sukan SEA adalah pada 2009 apabila Rabiatul Adawiyah Yusak muncul juara dalam acara seni tunggal.



"Sebenarnya saya tidak pernah membayangkan pun menyertai silat atau memenangi pingat emas untuk negara," kata anak sulung Cik Norah, 44 tahun, seorang pegawai pembantu pentadbiran; dan Encik Mohammad Yazid Ahmad, 50 tahun, seorang jurutera itu.



"Saya dulu seorang yang pemalu, pendiam dan tidak suka campur orang. Kalau bercampur pun ketika saya menyertai kegiatan tarian sewaktu di sekolah rendah dulu," kata Nurzuhairah, yang mendedahkan dalam satu laporan awal bahawa beliau juga pernah menjadi mangsa buli.



"Alhamdulillah, dengan menyertai silat, sewaktu saya berada di darjah lima, saya kini menjadi lebih berdikari, bertanggungjawab dan yakin."



Kini, selepas menyertai pasukan nasional, Nurzuhairah juga lebih cekal, tidak mudah mengaku kalah dan tabah menghadapi cabaran sebagai atlit negara.



Selain menunjukkan komitmen menghadiri latihan lasak lima hari seminggu dan terpaksa berulang-alik dari rumahnya di Tanglin Halt ke pusat latihan pesilat elit di OCBC Arena - dengan perbelanjaan sendiri - beliau juga berdepan dengan jaguh-jaguh lebih berpengalaman dan ada kalanya dengan bentuk fizikal lebih besar.



Namun, pada ketinggian 1.54 meter, Nurzuhairah berpotensi besar.



Beliau memenangi pingat pertamanya - gangsa - dalam penampilan sulungnya dalam Kejohanan Pencak Silat Sedunia pada 2015 selepas menyertai pasukan senior negara dalam acara tanding Kelas A (45-50kg).



Pada tahun berikutnya, beliau menunjukkan bakat dalam acara seni pula dan memenangi pingat gangsa dalam acara regu Kejohanan Pencak Silat Sedunia.



Nurzuhairah disertakan dalam acara seni tunggal pada Januari 2017 dan memenangi pingat emas Kejohanan SEA 2017 sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur.



Perubahan itu turut diperhatikan bapa Nurzuhairah, Encik Mohammad Yazid.



"Walaupun Zu (nama timangan Nurzuhairah) mula bersilat lewat daripada adik- adiknya - Nurzianah, 16 tahun; dan Aniq 'Asri, 13 tahun - kemajuan yang ditunjukkan begitu mendadak.



"Saya memantau perkembangan Zu daripada beliau tidak tau apa-apa mengenai silat sampai sekarang. Zu akan belajar dan berlatih bersungguh-sungguh untuk mempamerkan yang terbaik.



"Apa yang saya nampak pada Zu adalah jika beliau ingin memiliki sesuatu, beliau akan terus fokus dan mengejar impiannya sampai dapat. Saya dan isteri amat berbangga dengan perubahan sikap dan kejayaan nya," kata Encik Mohammad Yazid.



Mengulas kemajuan anaknya itu, Cik Norah menambah: "Pada mulanya kasihan tengok beliau keluar latihan waktu pagi, kadang-kadang petang pulang sekejap dan pergi lagi ke latihan hingga ke malam.



"Namun, itu yang beliau mahu dan beliau berusaha bersungguh-sungguh demi membanggakan negara dan keluarga."



Untuk itu, mereka berterima kasih kepada Persekutuan Silat Singapura (Persisi) dan kakitangan yang sentiasa memberikan bantuan dan sokongan kepada Nurzuhairah.



Kini, yang menjadi tumpuan Nurzuhairah adalah memenangi pingat dalam Sukan Asia Indonesia 2018.



Menjawab pertanyaan wartawan menerusi SMS sama ada beliau mahukan pingat emas, Nurzuhairah, yang kini berada di Jakarta, Indonesia, untuk menyertai pertandingan Test Events sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia, menjawab yakin:



"Ya. Itu sudah pasti."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >