Walaupun mengejutkan lawan menerusi gol awal, Young Lions gagal mengekalkan kelebihan apabila kecundang 1-5 kepada Geylang International dalam pertarungan Liga Perdana Singapura (SPL) di Stadium Jalan Besar, pada 19 September.

Young Lions membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Hisatoshi Nishido selepas menerima hantaran pemain tengah, Garv Sahoo dalam kawasan penalti.

Nishido bijak mencari ruang dan melepaskan rembatan kencang untuk menjaringkan gol untuk meletakkan pasukan di hadapan.

Namun, Geylang tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan.

Hanya seminit kemudian, Dejan Racic menghasilkan hantaran lintang berbahaya yang terkena pemain pertahanan Young Lions, Muhammad Fairuz sebelum masuk ke gawang sendiri.

Keadaan menjadi lebih teruk buat pasukan bimbingan Firdaus Kassim apabila Nishido bertukar daripada wira kepada punca kekecewaan selepas hantaran cuainya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain sayap Geylang, Hyeonju Yang untuk meletakkan pasukannya di hadapan 2-1.

Geylang jelas tidak memperlahan rentak apabila serangan balas pantas mereka menemui Racic, yang bijak meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Young Lions untuk menggandakan kelebihan pasukannya.

Geylang mengakhiri separuh masa pertama dengan kelebihan 3-1.

Pada separuh masa kedua, Young Lions cuba mencari peluang untuk bangkit, tetapi hasrat mereka tidak kesampaian.

Malah, keadaan menjadi lebih teruk buat mereka apabila serangan balas Geylang temui Hyeonju Yang yang menjaringkan gol dengan kemas untuk menjadikan kedudukan 4-1 memihak kepada Geylang.

Penyerang Geylang, Sahil Suhaimi kemudian menyempurnakan kemenangan Geylang dengan menjaringkan satu lagi gol di detik akhir perlawanan.

Kedudukan 5-1 kekal hingga wisel penamat.

Penangguhan saingan SPL akan datang bagi tempoh rehat antarabangsa Fifa memberi ruang dan masa berharga buat Firdaus untuk menilai semula kelemahan pasukannya serta mencari jalan memulihkan prestasi Young Lions.