Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeylang kembali ke puncak, Sailors dan Tampines terus beri tekanan
Young Lions, Hougang United pula terus bergelut susulan kekalahan masing-masing
Geylang kembali ke puncak, Sailors dan Tampines terus beri tekanan
Tiga pasukan teratas Liga Perdana Singapura (SPL) mempamerkan kekuatan mereka pada hujung minggu ini.
Lion City Sailors membelasah Tanjong Pagar United, dengan Tampines Rovers mengharungi perlawanan yang mendebarkan untuk mengekalkan rekod bersih mereka, sementara Geylang International kembali ke puncak liga menerusi kemenangan besar ke atas Hougang United.
Sementara itu, Young Lions dan Hougang terus bergelut susulan kekalahan masing-masing.
Lion City Sailors 6-0 Tanjong Pagar
Sailors mempamerkan persembahan cukup meyakinkan apabila membelasah Tanjong Pagar 6-0 di Stadium Jalan Besar pada 25 Oktober.
Kemenangan itu melanjutkan rentetan kemenangan Sailors kepada empat perlawanan dalam semua pertandingan, termasuk kemenangan 2-0 ke atas FC Jurong dalam aksi liga sebelumnya.
“Sentiasa ada perkara yang boleh kami lakukan dengan lebih baik, tetapi saya sangat gembira dengan keputusan, tiga mata, rekod tanpa bolos dan persembahan seluruh pasukan.
“Ia satu kemenangan penting untuk kami mengekalkan momentum,” kata ketua jurulatih Mark Jackson.
Selepas mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan Jackson pada awal musim, Sailors kini kelihatan semakin serasi, sekali gus memberi tanda amaran kepada pasukan SPL lain.
FC Jurong 2 - 3 Tampines Rovers
Tampines meneruskan permulaan sempurna mereka dengan kemenangan 3-2 ke atas FC Jurong.
Hujan lebat tidak memadamkan kehangatan perlawanan yang menyaksikan beberapa jaringan hebat tercipta.
Yuki Kobayashi membuka jaringan buat Tampines menerusi rembatan jarak jauh yang menakjubkan.
Kemudian Hide Higashikawa menggandakan kelebihan dengan aksi cemerlang mencari ruang untuk menjaringkan gol.
Koya Kazama meluaskan lagi jurang perlawanan apabila beliau menjaringkan gol ketiga Tampines pada masa tambahan separuh masa pertama.
Namun, Jurong bangkit selepas rehat apabila Seiya Satsukida merapatkan jurang pada minit ke-47, dan Tyler Ho menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-90, tetapi terlalu lewat untuk Jurong melengkapkan kebangkitan mereka.
Walaupun kemenangan itu mengekalkan rekod sempurna Tampines dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan, kebangkitan Jurong menjadi peringatan bahawa kelebihan besar tidak menjamin tiga mata.
Buat jurulatih Nazri Nasir, kemenangan itu tetap penting dalam jadual yang semakin padat.
Geylang pula kembali ke puncak liga selepas menewaskan Hougang 3-0 di Our Tampines Hub (OTH), sekali gus mencatat kemenangan keempat dalam lima perlawanan.
Tanpa meletakkan dua penjaring utama mereka, Dejan Racic dan Sahil Suhaimi, dalam kesebelasan utama, Geylang tetap menunjukkan ketajaman serangan mereka apabila Ryang Hyeon-ju menjaringkan dua gol, manakala Kaisei Ogawa turut menemui sasaran.
Geylang kini mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan, satu mata di hadapan Tampines yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Mereka juga mempunyai rekod pertahanan terbaik liga setakat ini, dengan hanya dua gol dibolosi.
Sebaliknya, Hougang terus merosot selepas permulaan musim yang memberangsangkan.
Selepas seri 2-2 dengan Sailors dalam perlawanan pembukaan, mereka mengalami empat kekalahan berturut-turut.
Lebih membimbangkan, pertahanan Hougang terus rapuh dan mereka sekali lagi kehilangan pemain akibat kad merah, kali ini pemain pertahanan Milos Drincic.
Ketua jurulatih Akbar Nawas mengakui pasukannya perlu melakukan penilaian menyeluruh.
“Apabila kami dibolosi, kami cuba mencari gol sehingga terlalu banyak ruang terbuka, lalu lawan menghukum kami menerusi serangan balas. Gol-gol yang kami bolosi tidak boleh diterima pada tahap ini,” katanya.
“Selepas kalah dalam empat perlawanan terakhir, kami perlu menilai semua aspek, dari atas hingga bawah.”
Young Lions 1 - 2 Balestier Khalsa
Bagi Young Lions, kekalahan 1-2 kepada Balestier Khalsa melanjutkan permulaan buruk mereka kepada lima kekalahan berturut-turut.
Balestier mendahului menerusi jaringan awal Tin Matic pada minit kelima, dan menggandakan kelebihan mereka melalui Hiro Mizuguchi.
Tetapi Shuya Yamashita merapatkan jurang pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Namun, Young Lions gagal mencari gol penyamaan selepas rehat, sekali gus pulang tanpa sebarang mata.
Berbeza dengan kekalahan besar terdahulu, Young Lions kali ini kekal dalam persaingan hingga wisel penamat, mempamerkan peningkatan yang diperlukan.
Namun, mereka masih belum menemui formula untuk mendapatkan keputusan positif, dengan lima kekalahan daripada lima perlawanan dan 21 gol dibolosi.