Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeylang tewaskan Hougang 3-0, pertahan kedudukan di puncak SPL
Geylang tewaskan Hougang 3-0, pertahan kedudukan di puncak SPL
Geylang International berjaya mempertahankan kedudukan mereka di puncak Liga Perdana Singapura (SPL) selepas menewaskan Hougang United 3-0 di Our Tampines Hub pada 26 Oktober.
Pasukan kendalian Noor Ali itu kini mempunyai kelebihan satu mata daripada pasukan tempat kedua, Tampines Rovers, namun Tampines mempunyai kelebihan satu perlawanan yang belum dimain lagi.
Geylang memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan, mencerminkan prestasi cemerlang mereka yang belum tewas dalam SPL musim ini.
Ia terus memberikan tekanan kepada lawan dan menyangka mereka berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-18.
Bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan akibat ofsaid.
Geylang terus menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang, namun gagal menemui sentuhan untuk menterjemahkan penguasaan mereka kepada jaringan.
Namun, mereka akhirnya berjaya memecah kebuntuan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi kesilapan pertahanan lawan.
Darren Teh melancarkan hantaran lintang berbahaya ke dalam kotak penalti, menyebabkan kapten lawan, Zulqarnaen Suzliman, gagal menyelaraskan pergerakannya dengan penjaga gawang, Ridhuan Barudin.
Penyerang Geylang, Ryang Hyeonju mengambil kesempatan daripada kekeliruan itu untuk menjaringkan gol dan meletakkan pasukannya di hadapan 1-0 menjelang waktu rehat.
Geylang teruskan penguasaan mereka selepas rehat dengan terus mengancam pertahanan Hougang dalam usaha menambah jaringan.
Geylang berpeluang keemasan untuk menggandakan kelebihan apabila Kaisei Ogawa, menghantar bola lintang ke dalam kotak penalti yang menemui Ryoya Taniguchi, tetapi percubaannya gagal menemui sasaran.
Namun, Taniguchi kemudian menebus kesilapan tersebut beberapa minit kemudian apabila menghantar bola cantik kepada Ogawa, yang berjaya mencari ruang sebelum melepaskan rembatan melepasi penjaga gawang untuk menggandakan kelebihan Geylang.
Hougang turut berusaha merapatkan jurang menerusi sepakan percuma Saifullah Akbar yang menemui Jordan Emaviwe di dalam kotak penalti, namun pemain itu gagal mengarahkan bola ke sasaran.
Hougang sekali lagi hampir mendapatkan gol apabila Milos Zukanovic melepaskan tendangan percuma yang terkena palang.
Bagaimanapun, nasib Hougang bertambah buruk hanya beberapa saat kemudian apabila Milos dilayangkan kad kuning kedua, sekali gus diperintahkan keluar padang.
Keputusan itu memaksa Hougang meneruskan baki perlawanan dengan 10 pemain, menjadikan tugas mereka untuk bangkit semakin sukar.
Perkara menjadi lebih teruk untuk Hougang apabila Hyeonju memanfaatkan ruang yang ditinggalkan Hougang untuk mendapatkan jaringan ketiga pasukannya.
Dan tugas kebangkitan terbukti mustahil buat Hougang, dan Geylang berjaya mempertahankan kelebihan mereka hingga akhir perlawanan untuk mendapatkan kemenangan 3-0 meyakinkan.
Keputusan ini menjadikan aksi minggu depan pada 1 November lebih menarik, apabila Geylang International berdepan Tampines dalam perebutan tempat pertama SPL.
Hougang United pula bakal berdepan dengan Young Lions pada 31 Oktober, dengan kededua pasukan menaruh harapan untuk mengubah rentak kekalahan mereka.