LONDON: Ryan Giggs telah meletakkan jawatan sebagai pengurus Wales "berkuat kuasa serta-merta".
Bekas bintang sayap Manchester United itu, 48 tahun, kini menantikan perbicaraan selepas didakwa menggunakan paksaan dan berkelakuan ganas ke atas bekas temanitanya - tuduhan yang beliau nafikan.
Perbicaraan di Mahkamah Crown Manchester sepatutnya bermula pada 24 Januari lalu tetapi kini ditangguhkan sehingga 8 Ogos - faktor yang mendorong Giggs memutuskan untuk mengundurkan diri daripada jawatannya itu.
Robert Page mengambil alih sebagai bos sementara Wales semasa ketiadaan Giggs, memimpin pasukan itu ke pusingan akhir Piala Dunia buat julung kalinya sejak 1958.
Dalam satu kenyataan, Giggs berkata: "Setelah berfikir panjang, saya memutuskan untuk berundur daripada jawatan saya sebagai pengendali pasukan nasional lelaki Wales yang berkuat kuasa serta-merta.
"Ia satu penghargaan dapat memimpin pasukan negara. Namun, Persatuan Bola Sepak Wales, barisan kejurulatihan dan para pemain berhak untuk membuat persiapan bagi kejohanan (Piala Dunia) tanpa perlu dibelenggu spekulasi mengenai ketua jurulatih mereka," kata beliau.
Menyusuli pengumuman Giggs, Persatuan Bola Sepak Wales (FAW) juga mengeluarkan kenyataannya.
"FAW merakamkan ucapan terima kasih kepada Ryan Giggs atas khidmatnya sebagai pengurus pasukan dan menghormati keputusan yang diambilnya. Ia adalah untuk kepentingan bola sepak Wales," katanya.
"Fokus sepenuhnya FAW dan pasukan nasional adalah pada Piala Dunia Fifa di Qatar pada hujung tahun ini."
Bekas kapten Wales, Page, 47 tahun, yang juga penolong Giggs sejak Ogos 2019, mengambil alih pengendalian perlawanan sejak November 2020, dan membimbing Wales ke puncak tangga kumpulan Liga Negara-Negara mereka.
Beliau terus menjadi penolong Giggs - yang dilantik oleh Wales pada Januari 2018 - pada Mac 2021 ketika Wales memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2022 mereka.
Kempen itu berakhir dengan kemenangan bersejarah dalam perlawanan penentu atau play-off, menentang Ukraine awal bulan ini, menempah tempat Wales di Qatar bagi penampilan ke pusingan akhir Piala Dunia selepas penantian selama 64 tahun.
Wales diundi dalam Kumpulan B bersama England, Amerika Syarikat dan Iran, dengan perlawanan pembukaan mereka menentang Amerika pada 21 November.
Di bawah bimbingan Page, Wales juga berjaya ke kelompok 16 pasukan terbaik pusingan akhir Euro 2020, yang ditunda kepada 2021 dek pandemik Covid-19, dan beliau kini dijangka dilantik pengendali tetap Wales.
Giggs mengaku tidak bersalah atas segala tuduhan ke atas bekas temanitanya, Kate Greville, antara Ogos 2017 dengan November 2020.
Beliau juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyerang Greville menyebabkan kecederaan sebenar pada badannya, dan serangan ringan terhadap adik perempuannya, Emma Greville, di rumahnya di Worsley, Greater Manchester, pada 1 November 2020. - Agensi berita.