APABILA nama bapanya disebut, ramai yang mungkin menyangka "pintu peluang" terbuka luas untuk Iryan Fandi.

Apakan tidak, bapanya Fandi Ahmad - ikon bola sepak setempat - dengan keluarganya rata-rata ada kaitan dengan sukan tersebut.

Abang-abangnya - Irfan, 25 tahun; Ikhsan, 23 tahun; dan Ilhan, 20 tahun - bermain secara profesional dan telah pun menyarung jersi negara.

Namun laluan Iryan, 16 tahun, yang merupakan anak bongsu lima beradik itu tidak semudah yang disangka.

Kini bekas pemain ragbi itu sudah bersedia keluar daripada bayang-bayang keluarganya untuk menempatkan diri selaku pemain bola sepak profesional juga.

Dalam satu temu ramah dengan The Straits Times (ST), remaja itu menceritakan tentang cabaran yang ditempuhinya di peringkat awal.

Dia mula menghadapi cabaran semasa di Sekolah Anglo-Chinese (Junior) apabila gagal mendapat tempat dalam pasukan bola sepak sekolahnya itu.

Katanya:

"Sejak saya berusia empat tahun, saya memang ingin bermain bola sepak... saya telah menghadiri akademi-akademi bola sepak dan berlatih dengan bapa saya.

"Maka secara semula jadi saya sertai bola sepak di sekolah namun guru yang bertanggungjawab menggugurkan saya kerana saya terlepas banyak latihan akibat sakit."

Penyakit lelahnya yang kronik menyebabkan dia pengsan semasa bermain bola sepak, sehingga terpaksa dibawa ke hospital beberapa kali.

Keadaannya kini di bawah kawalan memandangkan dia kini mampu bermain 90 minit dalam perlawanan meskipun terpaksa gunakan pam penyedut sebelum sesi memanaskan tubuh.

Selepas kali pertama 'terhalang' bermain bola sepak, dia memilih untuk bermain ragbi pula dan bersaing untuk pasukan ACS (Barker Road) sehingga di peringkat menengah tiga.

Dia telah cuba sertai pasukan bola sepak di sekolah menengah namun sekali lagi dinafikan akibat kurang teknik.

Namun nasibnya baik semasa mencuba buat kali ketiga selepas menghabiskan banyak masa bersenam di gimnasium dan memperbaiki tekniknya.

Dia menjadi semakin cergas, kurus dan tinggi - dengan ketinggian 1.76 meter dan semasa di menengah tiga, percubaannya untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah akhirnya berhasil.

Iryan kemudian menyertai pasukan Lion City Sailors Bawah-16 tahun sebelum berpindah ke Hougang United awal tahun ini.

Dia menjadi pemain bintang bagi pasukan pembangunan kelab tersebut dalam Liga Pusat Kecemerlangan Singapura Bawah-17 tahun, di mana dia beraksi dalam kesebelasan utama dalam ke semua 14 perlawanan.

Hougang United menduduki tempat kedua dalam liga yang disertai lapan pasukan itu.

Robert Eziakoor, yang merupakan ketua jurulatih skuad Hougang Bawah-17 tahun, memuji anak buahnya itu yang bermain di benteng pertahanan, dan telah menyumbang kepada pasukan itu dengan menjaringkan dua gol.

Menurutnya:

"Dia bermain secara fizikal dan komited .... terutama sekali dia mempunyai ketangkasan dan bermain dengan pantas."

Iryan ingin mengisi masa yang hilang selama ini dan berharap dapat mengikut jejak abang-abangnya bermain di luar negara.

Irfan dan Ikhsan bermain dengan kelab Thai, BG Pathum United, sementara Ilhan pula baru-baru ini menandatangani sertai pasukan liga kedua Belgium, KMSK Deinze.

Iryan yang merupakan satu-satunya pemain kidal dalam keluarganya berkata:

"Saya kagum dengan mereka dan saya sememangnya menjadikan mereka contoh yang boleh saya ikut.

"Saya sentiasa membaca tentang mereka di media... kejayaan mereka di padang, bermain di luar negara... membakar semangat saya mahu mencontohi jejak mereka.

"Tidak semua pemain boleh kata mereka berpeluang bermain bola sepak secara profesional di Norway, Thailand atau Belgium. Saya harap dapat menjadi pemain tersebut kerana ia memang menjadi impian saya," katanya.

"Saya kagum dengan mereka (abang-abangnya) dan saya sememangnya menjadikan mereka contoh yang boleh saya ikut... Tidak semua pemain boleh kata mereka berpeluang bermain bola sepak secara profesional di Norway, Thailand atau Belgium. Saya harap dapat menjadi pemain tersebut kerana ia memang menjadi impian saya." - Iryan Fandi.