LONDON: Pengerusi bersama Manchester United Joel Glazer mengatakan beliau mengharapkan sebuah "dialog positif era baru" dengan penyokong setelah bersetuju untuk menghadiri forum peminat pertamanya.
Keluarga Glazer tidak digemari dalam kalangan penyokong sejak mereka mengambil alih Red Devils pada 2005.
Kemarahan terhadap keluarga asal Amerika Syarikat itu memuncak semula bulan lalu akibat peranan United dalam projek Liga Super Eropah (ESL) yang gagal.
Enam kelab Liga Perdana yang terlibat menarik diri daripada pertandingan baru itu dalam tempoh 48 jam di tengah-tengah tekanan yang kuat daripada peminat, pemain, pemerintah dan badan pentadbir.
Namun, ia tidak menahan kemarahan peminat United ketika pertembungan mereka dengan Liverpool pada 2 Mei yang ditunda selepas bantahan anti-Glazer menjadi ganas.
Penyokong pecah masuk ke padang Old Trafford dan terlibat dalam pertembungan dengan polis yang menyebabkan enam pegawai cedera.
"Saya tidak sabar untuk bertemu dengan Forum Peminat untuk mendengar pandangan mereka dan menjadi sebahagian sebuah perbincangan yang membina,"kata Joel Glazer dalam satu kenyataan United mengenai acara itu diadakan dalam talian.
"Saya benar-benar percaya bahawa ini dapat membuka dialog positif era baru dan kerjasama antara kelab dengan peminat."
Glazer mengakui "perlu ada perubahan" dan komunikasi yang lebih baik, pelaburan yang baik dalam skuad dan Old Trafford serta perbicaraan mengenai pemilikan saham yang lebih luas.
Kawalan keselamatan yang ketat dilihat di Old Trafford minggu lalu ketika berdepan Leicester serta perlawanan dijadual semula menentang Liverpool, yang mana menyaksikan satu lagi bantahan praperlawanan berlaku.
Peminat memakai skaf berwarna emas dan hijau, membawa plakad dan meneriak berulang-ulang menentang Glazer ketika 10,000 peminat kembali semula ke Old Trafford buat pertama kali dalam 14 bulan semasa perlawanan seri 1-1 dengan Fulham Selasa lalu. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg