LONDON: Kemaraan Manchester City untuk merapatkan jurangnya dengan pendahulu Liga Perdana England (EPL) Arsenal terbantut apabila ia tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur kelmarin.
Harry Kane menjaringkan gol pada minit ke-15 - menjadikannya penjaring gol paling banyak dalam sejarah Spurs - dengan 267 gol. Jumlah itu mengatasi rekod Jimmy Greaves yang bertahan sejak 1970.
Beberapa minggu lalu, Tottenham mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama perlawanan menentang City di Stadium Etihad tetapi tewas 2-4 akhirany.
Namun kelmarin ia dapat bertahan, sekali gus meningkatkan harapannya menamatkan saingan di empat tangga teratas liga.
Ini meskipun mereka bermain dengan 10 orang selepas Cristian Romero dilayangkan kad merah pada minit ke-87 kerana mengasari Jack Grealish.
Erling Haaland gagal menyempurnakan peluang bagi City dan percubaan Riyad Mahrez pada masa kecederaan separuh masa pertama hampir menyamakan kedudukan tetapi terkena palang.
Tottenham menahan asakan City pada babak kedua dengan pertahanan kukuh, lantas meraih kemenangan ketiga dalam empat perlawanan liga ke atas pasukan kendalian Pep Guardiola.
Pengurus Tottenham Antonio Conte tidak hadir bagi perlawanan itu selepas menjalani pembedahan bagi membuang pundi hempedunya.
City kekal di tangga kedua liga dengan 45 mata daripada 21 perlawanan, manakala Arsenal mengumpul 50 mata daripada 20 perlawanan.
Dua pasukan ini akan bertemu di Stadium Emirates pada 15 Februari.
Tottenham berada di tempat kelima dengan 39 mata daripada 22 perlawanan, satu mata di belakang Newcastle United.
Kane berkata selepas wisel penamat: "Rasanya seperti susah nak percaya, begitu luar biasa, menjaringkan gol di hadapan penyokong sendiri dan memenangi perlawanan, saya ingin melakukannya di tempat istimewa ini dan di hadapan peminat hebat ini."
Kevin De Bruyne menggantikan Mahrez pada minit ke-60 dan pemain Belgium itu melepaskan rembatan namun tersasar, manakala percubaan Julian Alvarez melewati palang.
City kini hanya tiga mata di atas Manchester United. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg