JIKA ditanya apa yang baik dalam perjalanannya dalam bola sepak sepanjang tahun ini, pemain skuad Singa Muda, Saifullah Akbar, tiada jawapan positif untuk diberi.
Namun, pemain berusia 23 tahun itu bangkit untuk menjaringkan gol tunggal yang membolehkan Singapura menewaskan Kemboja 1-0 dalam perlawanan kumpulan B Sukan SEA kelmarin.
Ia kemenangan pertama Singa Muda dalam temasya di Vietnam ini dan menghidupkan harapan kecil mereka untuk layak ke separuh akhir sebelum perlawanan terakhir menentang Malaysia esok.
Ini kali pertama Saifullah mendapat tempat dalam kesebelasan utama Singa Muda bagi temasya ini. Dalam perlawanan pertama menentang Laos yang berkesudahan seri 2-2, beliau menjadi pemain gantian dan membantu dalam gol penyamaan Jordan Emaviwe sebelum wisel penamat.
Saifullah tidak diturunkan semasa Singapura dibelasah 5-0 oleh Thai dalam perlawanan kedua.
Bagi Saifullah, gol kemenangannya ke atas Kemboja sangat penting dek sudah lama beliau 'bergelut' di luar padang.
"Saya hampir nangis. Gol ini amat bermakna bagi saya. Saya telah bercakap dengan tunang saya tentang kesukaran saya tidak bermain bola sepak lebih sebulan. Menjaringkan gol ini amat bermakna bagi saya dan saya sangat gembira.
"Penting juga untuk menang hari ini dan pergi ke perlawanan terakhir dengan sesuatu untuk diperjuangkan. Ia matlamat penting pasukan ini dan juga diri saya sendiri," kata Saifullah dengan senyuman apabila ditemui wartawan selepas perlawanan.
Saifullah menikmati 2021 yang cemerlang apabila beliau memenangi piala Liga Perdana Singapura (SPL) bersama Lion City Sailors dan membuat penampilan sulungnya bersama skuad negara.
Namun tahun ini beliau diketepikan kelabnya. Dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL), Saifullah tidak diturunkan dalam enam perlawanan mereka.
Musim lalu, beliau mula 20 daripada 21 perlawanan liga dan menjaringkan sembilan gol. Namun, dengan saingan lebih sengit bagi kesebelasan utama dan kecederaan kaki teruk tahun ini, Saifullah membuat tiga permulaan sahaja dalam lapan perlawanan.
Namun, jurulatih Nazri Nasir memberi peluang kepadanya untuk beraksi di hadapan 11,578 penonton, termasuk Speaker Parlimen merangkap Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Encik Tan Chuan-Jin, di Stadium Thien Truong di Nam Dinh.
Encik Tan hadir untuk memberikan sokongan buat Team Singapore.
Saifullah menyempurnakan peluang menjaringkan gol dan menembus gawang Kemboja menerusi satu tandukan cantik selepas hantaran tepat oleh pemain midfield, Shah Shahiran, pada minit ke-36.
Dengan kemenangan itu, Singa Muda masih berpeluang layak ke separuh akhir dan meraih pingat kali pertama dalam temasya sukan ini sejak 2013. Namun, nasib mereka bergantung sama ada keputusan perlawanan pasukan lain berpihak pada mereka.
Singapura kini mengumpul empat mata dalam tiga perlawanan. Mereka berada satu mata dan satu tempat di atas Thailand, yang menduduki tempat ketiga.
Malaysia, yang menewaskan Laos 3-1 malam kelmarin, berada di tempat teratas Kumpulan B dengan enam mata daripada dua perlawanan.
Hanya dua pasukan teratas layak ke separuh akhir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg