Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuardiola seloroh Haaland 'elak makan, minum terlalu banyak' semasa rehat Piala Dunia
Guardiola seloroh Haaland 'elak makan, minum terlalu banyak' semasa rehat Piala Dunia
MANCHESTER CITY: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berseloroh bahawa beliau ingin bintang penyerang pasukannya, Erling Haaland (gambar), "elak dari makan dan minum terlalu banyak" semasa rehat pertengahan musim sempena Piala Dunia bulan depan dan kembali cergas bagi membantu kelab itu dalam buruan trofi semasa separuh kedua musim ini.
Haaland, yang berasal dari Norway, telah menjaringkan 22 gol dalam 15 perlawanan semua pertandingan sejauh ini, tidak akan ke Qatar bagi Piala Dunia antara 20 November dengan 18 Disember selepas negaranya gagal melayakkan diri.
"Beliau akan berada di Marbella atau Norway.
"Ia bergantung kepada tingkah lakunya semasa di Marbella berdasarkan betapa baik persembahannya semasa separuh kedua musim kali ini.
"Beliau akan bermain golf, dan harapan saya beliau tidak makan atau minum terlalu banyak agar dapat kembali cergas," kata Guardiola kepada pemberita.
Beliau menambah:
"Beliau seorang yang bijak dan itu sebahagaian daripada etika kerjanya.
"Beliau juga yang pertama tiba dan yang terakhir pulang. Beliau jaga tubuhnya dengan baik.
"Beliau mendapat didikan yang baik dalam cara beliau hidup sebagai profesional dan beliau berhasrat menjadi lebih baik.
"Saya kagum melihat betapa hebatnya beliau bergerak dalam kotak yang sempit dan dapat menjaringkan gol.
"Beliau beralih daripada semua aksi hanya untuk berada dekat dengan gawang, dan inilah ciri-ciri yang diperlukan bagi seorang penyerang," tambahnya.
City telah dijadualkan bertemu dengan bekas kelab Haaland, Borussia Dortmund, dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.
City hanya perlu seri untuk menduduki tangga teratas Kumpulan G, sekali gus melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terakhir.
Pasukan pimpinan Guardiola sudah pun meraih tempat ke pusingan kalah mati dengan baki dua permainan selepas mengumpulkan 10 mata dari empat perlawanan, sedangkan Dortmund berada di tangga kedua dengan tujuh mata. - Agensi berita.